Badiuzzaman Said al-Nursi, Pencetus Gerakan Islam di Turki.



Pengenalan


Tumbangnya institusi Khalifah Uthmaniyah pada 1924 Masihi merupakan titik tolak bermulanya kehancuran dan kehilangan sinar Islam di Turki. Pengaplikasian sistem Khalifah sebagai sistem pemerintahan dan pentadbiran Turki roboh dan terkubur begitu sahaja selepas sistem Republik diaplikasikan dalam pemerintahan Turki. Pengenalan sistem sekular oleh Mustafa Kamal Attartuk dalam pentadbiran Turki sebagai presiden yang pertama, secara perlahan-lahan telah menyebabkan malapnya cahaya Islam di Turki. Hal ini berkaitan dengan usaha Mustafa Kamal Attartuk dalam mengubah pentadbiran yang berkonsepkan Islam bertukar kepada wajah Barat. Sekularisme boleh didefinisikan sebagai pelajaran berkaitan dengan keduniaan sahaja tanpa dicampurkan dengan amalan dan pengajaran akhirat. 

Antara perubahan secara drastik yang dilakukan oleh beliau selepas memegang jawatan sebagai presiden ialah menghapuskan institusi Khilafah (1924), menutup sekolah agama (1924), mengharamkan kegiatan tarekat (1925), melarang pemakaian tarbus dan purdah (1925), melaksanakan undang-undang Eropah (1926), menggantikan huruf Arab kepada huruf Latin (1928), menggugurkan Islam sebagai agama rasmi negara (1928), menghapuskan undang-undang keluarga Islam (1934) dan mengisytiharkan Ahad sebagai hari cuti am (1935).  Perlaksanaan perlembagaan dan undang-undang yang tidak berlandaskan syariat menyebabkan kemarahan masyarakat kerana Agama Islam diketepikan. Kemunduran dan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat Islam di Turki melahirkan pejuang agama Islam yang bernama Badiuzzaman Said Nursi. Kelancangan beliau dalam berkata-kata, ketajaman akal fikiran yang berisikan ilmu al-Quran dan kelancaran penulisannya serta pengaruh dan pengikutnya yang besar berjaya mengubah persepsi masyarakat dan mencetuskan gerakan Islam di Turki dalam menentang penularan sekularisme dan pemerintahan diktaktor.



Latar Belakang


Nama beliau yang sebenar ialah Said bin Mirza. Said al-Nursi telah lahir pada tahun 1877 Masihi. Beliau mendapat gelaran Said al-Nursi kerana nama tersebut adalah kerana beliau lahir di kawasan yang bernama Nurs. Gelaran Badiuzzaman pula telah diberikan kepadanya oleh gurunya yang bernama Syeikh Fathullah semasa berumur 15 tahun tetapi ditolak olehnya namun diterima semula kerana tanda syukur atas kurniaan Allah swt. Ia bermaksud “keunggulan Zaman”. Hal ini kerana keupayaannya yang boleh mengingati dan menghafal dalam masa yang singkat. Kekayaan ilmu dan juga ketajaman fikiran beliau juga merupakan musabab yang kukuh dalam diberikan gelaran tersebut. Beliau lahir dalam keluarga yang baik. Bapanya bernama Mirza dan sangat dihormati ramai. Bapanya digelar Sufi Mirza kerana dia sorang yang mempunyai ilmu yang luas, banyak beribadat dan warak. Buktinya, mulut lembunya akan diikat apabila mereka melintasi tanaman orang lain sebelum sampai ke kawasan ragut. Perilaku Mirza iaitu bapa kepada Said al-Nursi menunjukkan bahwa beliau seorang yang mempunyai perwatakan orang yang baik dan taat kepada ajaran agama.

Ibunya pula bernama Nuriyah. Ibunya juga seorang yang warak. Beliau sentiasa dalam keadaan suci dan berwuduk apabila menyusukan anak-anaknya.  Selain itu, Badiuzzaman mempunyai peribadi yang luar biasa kerana beliau telah mendapat asuhan serta didikan awal dari keluarganya. Ketegasan bapanya telah membentuk sikap disiplin dan istiqamah, manakala kelembutan dan sifat keibuan Nuriyah berjaya menanamkan sifat kasih sayang dalam diri al-Nursi.  Badiuzzaman Said al-Nursi merupakan orang yang cinta akan ilmu. Hal ini kerana beliau telah merantau mencari ilmu sejak berusia sembilan tahun. Al-Nursi telah berguru dengan ramai tokoh ulama yang bijak pandai dan antaranya ialah Shaykh Muhammad Amin Afandi, Shaykh Sayyid Nur Muhammad, Shaykh Muhammad al-Jalali, Shaykh Muhammad al-Kafrawi, Shaykh Abd al-Rahman, Shaykh Fahim, Mulla Abdullah, Mulla Ali al-Sawran dan Mulla Fathullah. 

Beliau bukan sahaja mendalami ilmu agama bahkan ilmu sains moden juga turut dipelajari. Buktinya, beliau telah menguasai bidang sejarah, geografi, matematik, geologi, fizik, kimia, astronomi, falsafah dan sebagainya.  Setelah beliau menguasai ilmu agama dan sains, beliau banyak menyumbang pemikiran Islam dan memberi sumbangan dalam perjuangan di Turki. Akhir sekali, beliau telah meninggal dunia dan kembali ke rahmatullah menetap ke alam kekal abadi pada hari Rabu 23 mac 1960 pada jam 3 pagi.



Pencetus Gerakan Islam di Turki

Ketinggian ilmu dalam diri Badiuzzaman Said al-Nursi menyebabkan beliau mempunyai ramai anak murid dan pengikut. Hal ini menjadikan beliau seorang yang berpengaruh besar di Turki. Perkara ini boleh dilihat dengan jelas semasa perang berlaku. Rakyat Turki telah menubuhkan satu pasukan sukarelawan termasuk di Anatolia yang bernama A-Tashkilat al-Makhsusah. Pertubuhan ini telah ditubuhkan atas perintah diraja dan tujuannya adalah bagi menjamin keutuhan dan perpaduan kerajaan Uthmaniyah. 

Badiuzzaman Said Nursi telah diberi kepercayaan dan penghormatan bagi memimpin pasukan sebagai panglima pasukan sukarelawan dari Timur. Pasukan pimpinan al-Nursi dikenali sebagai The Felt Hats dan pasukan ini amat digeruni oleh pasukan lawan kerana kehandalan mereka dalam menembak dan menunggang kuda serta mempunyai semangat jihad yang tinggi.  Al-Nursi memainkan peranan yang besar dalam pertempuran ini kerana beliau sentiasa cuba menerapkan sifat disiplin yang tinggi kepada pasukannya. Keperibadian beliau juga terserlah semasa peperangan kerana Badiuzzaman merupakan seorang yang sangat menekankan dan menjaga adab peperangan. Hal ini dibuktikan dengan tindakan al-Nursi yang membebaskan kesemua tawanan dengan selamat walaupun orang-orang Armenia telah berlaku kejam dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas kanak-kanak Islam.


Badiuzzaman Said al-Nursi memandang pendidikan sebagai satu kepentingan yang mendorong beliau dalam mengetengahkan idea penubuhan Madrasah al-Zahra. Punca al-Nursi mengetengahkan idea penubuhan madrasah adalah kerana pengasingan antara ilmu sains dan agama. Hal ini kerana beliau ingin membuat perubahan dalam pendidikan khususnya corak pendidikan agama yang diamalkan oleh masyarakat Kurdi di Timur Turki. Beliau menegaskan bahawa ilmu agama adalah sinaran bagi hati dan ilmu sains adalah cahaya bagi akal.  Beliau juga mencadangkan supaya saringan dilakukan terhadap guru-guru agar yang berkelayakan sahaja akan diterima mengajar. Bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, guru-guru ini perlu memiliki kemahiran berkomunikasi dalam bahasa atau dialek masyarakat tempatan dan bentuk pengajaran juga perlu disesuaikan dengan keadaan semasa dengan mendedahkan pelajar kepada pembelajaran yang bersifat interaksi dua hala dan yang boleh menajamkan fikiran, membuka minda dan lebih terbuka menerima teguran dan kritikan seperti dialog dan perdebatan.

Bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan system ini, beliau telah mempraktikkan system ini di sekolahnya di Sekolah Horhor.  Semangat al-Nursi yang berkobar telah membawa beliau ke Istanbul pada 1896 dan 1907 bagi menjelaskan idea tentang madrasah al-Zahra kepada Sultan Abdul Hamid II.  Reaksi yang positif diberikan oleh sultan, namun disebabkan kegawatan ekonomi yang berlaku menyebabkan peruntukan terpaksa ditangguhkan. Pada tahun 1911, al-Nursi sekali lagi mengutarakan cadangannya tentang penubuhan madrasah okepada sultan dan cadangan tersebut juga diluluskan beserta dengan peruntukan yang dicadangkan. Namun begitu, perlaksanannya juga gagal walaupun batu asas telah diletakkan di Irtamit iaitu sebuah kawasan yang berdekatan dengan Tasik Van disebabkan oleh Perang Dunia Pertama.  Pada tahun 1922, cadangan tentang penubuhan madrasah al-Zahra dibangkitkan sekali lagi did dalam persidangan kabinet dan cadangan ini juga mendapat sokongan padu ahli perwakilan dan peruntukan sebanyak 150 ribu lira telah diluluskan. Walaupun begitu, polisi pentadbiran negara yang menekankan dasar sekular telah membantutkan usaha perlaksanaan Madrasah al-Zahra.


Sumbangan terbesar Badiuzzaman dalam mencetuskan gerakan Islam di Turki adalah melalui penulisan Risalah al-Nur. Risalah al-Nur merupakan satu karya agung Said Nursi yang terhimpun sebanyak 130 buah risalah dalam 14 jilid besar dan risalah-risalah ini dikumpulkan dalam bentuk buku-buku di bawah tajuk-tajuk seperti Sozler, Shualer, Lemalar, Mektubaat dan lain-lain lagi serta kesemua tajuk-tajuk ini berjumlah enam ribu muka surat.  Kandungan Risalah al-Nur difokuskan tentang keimanan selaras dengan keadaan Turki pada ketika itu yang bergolak dengan pemerintahan Turki yang berpaksikan sekularisme yang dibawa oleh Mustafa Kamal Attartuk. Rujukan yang digunakan oleh beliau dalam menulis risalah ini adalah dengan menggunakan al-Quran dan al-Hadith sahaja. Penulisan Risalah al-Nur pada mulanya hanya ditulis dengan tangan oleh al-Nursi bersama anak muridnya kerana mereka tidak mampu untuk menyediakan belanja pencetakan. Tugas menulis tafsir ini dengan tangan merupakan satu kerja yang merbahaya pada ketika itu.  Sesiapa yang disyaki menulis dan menyebarkan tulisan risalah ini akan dikenakan tindakan tegas, bukan sahaja penjara malah mereka juga akan diseksa.

 Walaupun ancaman telah diberikan pihak kerajaan, Badiuzzaman dan para pelajarnya tidak gentar dan giat dalam menyebarkan Risalah al-Nur. Buktinya, mereka telah berjaya membuka 40 tempat yang baru sebagai tempat menjalankan kerja menyalin Risalah al-Nur bagi disebarkan kepada penduduk Isparta.  Badiuzzaman juga tidak pernah serik dalam menyebarkan Rislah al-Nur meskipun beliau telah dibuang daerah ke banyak tempat seperti Barla, dimasukkan ke dalam penjara dan diracun berkali-kali. Hal ini kerana beliau percaya Risalah al-Nur yang membicarakan soal-soal keimanan mampu mewujudkan keamanan dan kesejahteraan negara. Iman merupakan sumber akhlak mulia dan sifat-sifat terpuji, tidak sekali-kali akan mengganggu keamanan, bahkan dengannya akan terhasil pula kesejahteraan. Kesannya sehingga ke hari ini, Risalah al-Nur telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman, Itali, Perancis, Rusia, Rumania, Bulgaria, Parsi, Kurdi, Urdu, India, Melayu, Indonesia dan bahasa-bahasa di negara-negara Asia Tengah.


Badiuzzaman juga merupakan seorang yang aktif dalam menyertai gerakan-gerakan dalam memperjuangkan syariat Islam di Turki. Buktinya, al-Nursi menyertai Parti al-Ittihad al-Muhammadi yang dipimpin oleh Darwish Wihdati. Tujuannya adalah usaha dalam memberi penerangan tentang kepentingan syariat Islam serta memantau agar parti yang menggunakan Rasulullah saw sentiasa berada di landasan yang betul. Ketegasan al-Nursi dalam memperjuangkan perlembagaan berteraskan syariat bukanlah bermakna beliau menolak dan menentang fahaman sekular dan barat secara keseluruhan. Beliau melihat kemajuan material juga pentingvdalam mengisi kebebasan dan membina peradaban namun, kemajuan material yang dibawa oleh Barat perlu disaring oleh syariat supaya ia benar-benar membawa manfaat kepada ummah. Dalam aspek ini, al-Nursi melihat negara Jepun boleh dijadikan contoh kerana masih mengekalkan budaya asal ketika mencedok kemajuan daripada Barat. 
Al-Nursi sememangnya dikenali sebagai seorang yang bersikap lantang. Contohnya, beliau merupakan salah satu anggota jabatan Dar al-Hikmah al-Islamiyyah berada di bawah kendalian Shaykh al-Islam,yang bangkit menyokong fatwa bantahan terhadap fatwa kerajaan yang ditandatangani Shaykh al-Islam. Fatwa ini telah melabelkan pejuang-pejuang kemerdekaan sebagai pemberontak yang perlu dikenakan hukuman bunuh. Bantahan yang dikemukakan al-Nursi telah menguatkan lagi gerakan kemerdekaan yang berpusat di Ankara. Kemarahan masyarakat Islam terhadap pentadbiran Parti al-Ittihad wa al-Taraqqi yang memuncak, akhirnya satu tragedi yang dikenali sebagai Tragedi 13 April 1909 telah meletus. Kritikan-kritikan tajam beliau terhadap parti pemerintah dijadikan asas penahanan dan pembabitan beliau dalam peristiwa tersebut dan Hubungan al-Nursi dengan Parti al-Ittihad al-Muhammadi. Parti al-Ittihad al-Muhammadi merupakan sebuah persatuan yang besar kerana keahliannya yang terdiri daripada 300 juta orang Islam dan perpaduan yang berlandaskan keimanan dan walihahnya adalah beriman kepada Islam. Sungguhpun demikian, kegagalan pihak pendakwa dalam pembuktian, membawa kepada pembebasan beliau. Hal ini kerana pihak pendakwa tidak dapat mengaitkan parti tersebut terlibat dalam perancangan untuk menggulingkan kerajaan.


Said al-Nursi merupakan seorang yang lantang dalam menyampaikan pendapatnya. Hal ini boleh dilihat dengan jelas penentangannya terhadap Inggeris di Istanbul. Beliau telah menggunakan menggunakan kekuatan pidato, ketajaman pena serta pengaruhnya yang besar dalam membangkitkan kesedaran rakyat untuk mempertahankan agama dan tanah air serta menyemarakkan api penentangan terhadap Inggeris. Penentangan bermula selepas kekalahan Kerajaan Uthmaniyah dan pakatannya iaitu Jerman dalam Perang Dunia Pertama. Kekalahan ini telah membuka ruang dan mendorong mereka dalam menjalinkan perjanjian yang digubal oleh Kuasa Berikat seperti Perjanjian Mudros (Oktober 1918) dan Sevres (Mei 1920) membawa kepada pendudukan Kuasa Berikat yang diketuai Inggeris di Istanbul. Situasi yang dihadapi oleh kerajaan Uthmani ketika itu, menurut al-Nursi adalah satu penghinaan kepada agama dan negara. Ia juga menjelaskan pengkhianatan minoriti bukan Muslim yang telah menyambut kedatangan penjajah ke bumi Istanbul dengan deringan loceng gereja, ciuman serta sujud di hadapan ’penyelamat mereka’.



Kesimpulan


Badiuzzaman Said al-Nursi bukanlah suatu nama yang asing lagi dalam Kerajaan Uthmaniyah. Beliau merupakan pejuang dan pemikir Islam yang gigih dalam menyelamatkan kepincangan dan pergolakan iman yang melanda dalam masyarakat Turki selepas Mustafa Kamal Attartuk menjadi pemerintah negara. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Badiuzzaman dalam memastikan umat Islam masih mengamalkan syariat-syariatnya dan berada di landasan yang benar. Tindakan yang diambil oleh beliau telah menyebabkan pihak pemerintah berasa gusar dan bimbang kerana usaha yang diambil oleh al-Nursi dalam membaik pulih keimanan masyarakat telah mencetuskan gerakan Islam di Turki dan menyebabkan agenda mereka dalam mensekularkan negara Turki menjadi sukar.

Ketinggian ilmu yang diamalkan dan disebarkan oleh beliau membawa kepada keamanan dan kesejahteraan rakyat atau masyarakat di Turki terutamanya dalam aspek pendidikan. Walaupun usaha dan tindakan Nursi adalah suatu yang namun beliau tetap memberanikan diri serta beristiqmah dengan perjuangannya mengubah dasar negara. Secara ringkasnya, Badiuzzaman Said al-Nursi merupakan seorang ulama yang memperjuangkan Islam ketika ideologi Barat menyesatkan pemikiran masyarakat. Beliau juga telah mengorbankan seluruh hidupnya demi cahaya agama Islam sehingga beliau diberi jolokan tokoh pembaharuan (tajdi( Turki abad ke-20).


Comments

Popular Posts