Tajuk : Gerakan Politik di China Menjelang Penghujung Abad ke-19




PENGENALAN

Setelah China mengahadapi dua perang dengan kuasa barat iaitu Perang Candu  dan Perang Arrow, muncul masalah dalaman iaitu kebangkitan rakyat yang kecewa dengan kelemahan pentadbiran Dinasti Ch’ing. Kebangkitan yang berlaku menjelang penghujung abad ke-19 melambangkan bahawa Dinasti Ch’ing mengalami kemerosotan dan diambang kejatuhan. Hal ini telah menyebabkan kerajaan meneliti semula kekuatan negara China demi menjaga keselamatan dan menjaga kedaulatan negara. Pada penghujung abad ke 19, wujud pelbagai reaksi daripada rakyat.

         Bagi golongan intelektual, mereka kagum dengan kekuatan kuasa Barat dan mula memikirkan cara bagi membangunkan China dengan menggunakan teknologi barat untuk menumpaskan orang Barat semula. Mereka berpendapat bahawa China harus dimajukan serta dimodenkan dari segi senjata, ekonomi,dan sistem pemerintahan kuno di China. Mereka menginginkan sebuah sistem pemerintahan yang sama dengan kuasa-kuasa barat yang lain dan tumpuan utama mereka ialah pada Jepun kerana kejayaan Restorasi Meiji. Contoh tokoh-tokoh yang muncul ialah seperti Putera K’ung, Kang Yu Wei, Lin Tse-hsu dan banyak lagi.  Maka wujud usaha untuk membina kilang-kilang senjata serta memodekan bidang ketenteraan di China. Rancangan untuk memulihkan China melalui proses pemodenan merangkumi sektor-sektor seperti pertahanan, hubungan luar, penterjemahan, industri perkapalan dan juga kilang makanan dan kain.

        Namun, kesan daripada perang, perebutan konsesi barat, kegiatan mubaligh kristian dan bencana alam juga telah menyebabkan munculnya gerakan untuk membela dan mempertahankan kedaulatan China. Cara yang digunakan oleh golongan ini lebih agresif atau radikal dalam menuntut perjuangan dengan menggunakan senjata untuk menghalau orang asing keluar daripada China. Contoh gerakan yang muncul pada penghujung abad 19 adalah seperti Gerakan Menguatkan Diri, Pemberontakan Taiping, Gerakan 100 hari, Pergerakan Boxer dan Komiuntang.


GERAKAN MENGUATKAN DIRI

Gerakan Menguatkan diri ini berlangsung daripada tahun 1861 sehingga 1895. Gerakan ini dipanggil sebagai Gerakan Yang Wu atau Gerakan Pembaratan. Mereka juga dikenali sebagai Polisi T’ung K’ung yang diambil sempena nama Maharaja T’ung-chih yang digabungkan dengan nama Putera K’ung. Gerakan ini bertujuan untuk menguatkan diri untuk mencari kelemahan China dengan memulihkan kekuatan ketenteraan China, menjalin hubungan baik dengan kuasa barat, usaha-usaha penterjemahan dan membina industri berat dan ringan serta penyertaan dalam perdagangan anatarabangsa.  Golongan yang bangkit dalam menetang kuasa asing terdiri daripada golongan intelektual.  Antara perintis utama dalam gerakan ini ialah Pesuruhjaya, Lin Tse–hsu. Beliau merupakan tokoh yang menggalakkan pembelajaran dari Barat. Antara capaian yang telah dilakukan oleh Lin Tse–hsu adalah seperti merampas dan memusnahkan candu.  Beliau telah meminta akhbar asing dari Macao, Singapura dan India untuk diterjemahkan, mengumpul maklumat tentang geografi, sejarah, politik dan undang- undang barat, beliau juga mengarah supaya menterjemah undang-undang antarabangsa dari Vattel dan buku seperti Cyclopedia of Geography diterjemah ke dalam bahasa China di bawah tajuk Ssu-kuo-chih (Daftar Alam untuk Empat Negara) pada tahun 1841. Bagi menguatkan pertahanan di Canton, beliau telah mengarahkan pembelian sebanyak 200 senapang dan mengarahkan penterjemahan buku panduan cara membuat senapang. 

          Perintis seterusnya dalam gerakan ini ialah Wei Yuan (1794-1856) yang merupakan seorang sarjana klasik yang mempunyai kesedaran terhadap pemodenan China. Beliau mensarankan agar kerajaan China mengamalkan polisi “belajar teknologi tinggi orang gasar untuk mengawal mereka”.  Kesedaran beliau terhadap perlunya perubahan lahir daripada pengalaman yang pernah menjadi setiausaha peribadi pemangku Gabenor Jeneral Liangjiang semasa Perang Candu. Atas pengamatan beliau semasa perang tersebut, beliau mula akur akan kekuatan sebenar orang Barat yang mempunyai kapal wap, senjata moden, dan latihan ketenteraan yang lengkap. Oleh itu, beliau telah membuat penyelidikan dan menghasilkan sebuah buku yang bertajuk Hai–kuo t’u-chih (Ilustrasi Indeks Alam untuk Negara Kelautan). Buku ini terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama mengandungi perkara yang berkaitan dengan keadaan sejarah, geografi, dan politik semasa negara barat.Bagi bahagian kedua pula berkenaan dengan pembuatan senjata barat, bahagian ketiga tentang pembinaan kapal, lombong dan peralatan lain-lain, dan bahagian keempat pula tentang kaedah berhubung dengan barat.  Buku ini kemudiannya dikembangkan kepada beberapa edisi iaitu 50 jilid pada 1844, 60 jilid pada tahun 1847, dan 150 jilid pada 1852. Selain itu, beliau juga telah  mencadangkan agar sebuah kilang senjata dan limbungan kapal dibina di Kwantung dengan melantik orang barat sebagai penasihatnya, memperkenalkan sains tentera laut dalam peperiksaan tentera dan mengendali pengurusan ketenteraan dengan baik.

          Penubuhan yang dikenali sebagai Tsungli Yamen mula ditubuhkan bermula dari Dikri maharaja pada 13 Januari 1861. Dalam dikri ini maharaja meminta agar sebuah institusi yang mengendalikan hubungan China dengan negara luar ditubuhkan. Dalam dikri kedua yang telah dikeluarkan pada 20 Januari 1861 pula maharaja menamakan institusi tersebut sebagai  Tsungli Yamen.  Dalam Dikri maharaja pada 13 Januari 1861 juga, maharaja juga telah meminta dua jawatan pengawas perdagangan diwujudkan. Jawatan pengawas perdangan di selatan merupakan jawatan yang sedia ada, jawatan pengawas perdagangan di sebelah utara telah diwujudkan. Jawatan pengawas perdagangan di selatan dikenali sebagai Pesuruhjaya Tinggi Pelabuhan Selatan (Nan-yang ta-chen) manakala pengawas perdagangan di utara pula dikenali sebagai Pesuruhjaya Tinggi Utara(Pei-yang ta-chen) yang menguruskan hal ehwal pelabuhan perjanjian di utara.Tugas bagi kedua-dua pesuruhjaya ini ialah menguruskan soal perdagangan dan juga sebagai pegawai diplomat untuk menguruskan kehadiran diplomat asing ke China.  Selain itu, pada pertengahan abad ke-19 Kastam Kemaharajaan Kelautan China telah ditubuhkan. Kerajaan China melantik orang barat yang pertama iaitu Inspektor Jeneral kastam.G.T.Lay untuk menjawat jawatan tersebut.  Tugas badan ini adalah mengendalikan urusan percukaiaan dagangan China, dan juga menjadi badan mengumpul dana bagi membayar ganti rugi kepada pihak Britain dan Perancis.

Walaupun terdapat desakan dan cadangan daripada pelbagai pemimpin China, idea pembaharuan ini hanya diterima selepas kekalahan China di tangan Barat pada tahun 1860. Pengajaran selepas kekalahan telah mengubah pandangan China terhadap kuasa Barat. Pegawai-pegawai China dan Istana yang sebelum ini bersikap antiorang asing mula mengubah pandangan. Namun Perang Arrow telah membuka lembaran baru dalam perhubungan China dan Barat. Putera K’ung merupakan salah seorang pemimpin yang sedar akan perlunya China mengubah dasar yang lebih terbuka dan bertolak ansur. Antara tindakan Putera Kung ialah beliau telah membuka sebuah pejabat hal- ehwal luar dan kelas terjemahan.  Putera Kung mula sedar bahawa jika China mematuhi perjanjian dengan kuasa barat, dan melayan mereka dengan baik maka keamanan akan dapat dicapai. Beliau mula menganggap hubungan China dan barat perlu dijalankan secara aman. Idea Putera Kung telah mendapat sokongan daripada Manchu Grand Councillor, Wen-hsing, Tseng Kuo-fan, Tso Tsung-tang dan Li Hung-chang.  Selain itu, atas cadangan Putera Kung, Kui Liang dan Wen Hsiang Tsungli Yamen (Pejabat Untuk Pengurusa Am) telah ditubuhkan pada 11 Mac 1886. Pejabat ini lebih kepada sub jawatankuasa dalam Grand Council. Ia mempunyai lima jabatan dengan empat jabatan mengendalikan soal hubungan dengan Britain, Perancis, Rusia, dan Amerika Syarikat.Urusan China dan Jepun dimasukkan dalam Jabatan Rusia. Jabatan yang kelima ialah Jabatan Tentera Laut yang juga mengurus soal pelabuhan perjanjian, pembinaan limbungan kapal, pembuatan peluru,senjata dan mesin, pembelian dan pengeluaran kapal wap, dan permbinan jalan kereta api, telegraf dan lombong di beberapa wilayah di China.

Di samping itu, terdapat juga usaha menguatkan diri di wilayah. Antara pemimpin wilayah yang penting ialah Tseng Kuo-fan, Tso Tsung-tang dan Li Hung-chang. Mereka merupakan tokoh yang berperanan penting dalam menghapuskan kebangkitan Taiping.  Mereka juga mendapat iham untuk membangunkan negara China daripada keberkesanan Ever-Victorious Army. Mereka sedar bahawa kelemahan China perlu dibaiki dengan menguatkan bidang persenjataan dan perkapalan di China dengan meniru kekuatan tentera barat. Oleh sebab itu, usaha-usaha pembinaan kilang senjata dan perkapalan dijalankan. Tseng Kuo-fan yang mendapat pendidikan Konfusius berpendapat bahawa pembaharuan dalam bidang ketenteraan yang dilakukan oleh China harus mengikuti ajaran moral dan etika.  Berlandaskan prinsip ini beliau telah membina sebuah kilang senjata di Kiangsi pada tahun 1855,  di Anqing pada tahun 1861 sebuah lagi kilang senjata telah dibina.  Kilang ini menggunakan tenaga buruh untuk mengeluarkan peluru, senapang, peluru meriam, dan serbuk peletup.

Tambahan, beliau juga telah membina kapal wap bersaiz kecil. Pada tahun 1865, Tseng Kuo-fan, Li Hung–chang dan Li Hung–chang juga telah menaja untuk membina Kilang Senjata Kiangnan di Shanghai. Selain itu, kilang senjata ini juga menjadi biro penterjemahan. Hasil penterjemahannya ialah sebanyak 156 karya barat daripadanya 98 buah karya telah diterbitkan.  Terdapat juga badan-badan  persendirian seperti Depot Buku Saintifik (Ko Chih Shu She) dan Persatuan Penterjemahan Shanghai (I Shu Kung Hui) yang menjalankan usaha penterjemahan.  Tseng Kuo-fan juga telah menghantar sebuah memorial yang sulit setahun sebelum kematiannya, ia mengandungi pekara yang dapat memodenkan China.

               Antara pekara yang terkandung dalamnya ialah memindah pusat negara dari Peking ke tempat yang lain, memansuhkan pengamalan rasuh dalam kerajaan, membuat reformasi ketenteraan dengan menubuhkan tentera moden dan tentera laut dan kedua- dua badan tersebut diletakkan di bawah kerajaan pusat, menyemak semula perbendaharaan kerajaan dan meletakkannya di bawah kerajaan pusat, dan membuat reformasi dalam pemilihan pekerja dalam perkhidmatan kerajaan.  Terdapat pelbagai halangan bagi menjayakan gerakan menguatkan diri ini.  Antaranya adalah tentangan daripada golongan konservatif terhadap usaha ini. Misalnya,  pada tahun 1867, Putera Kung telah  memperkenalkan jabatan astronomi dan matematik di Tung Wen Kuan dan menjemput professor asing untuk mengajar mata pelajaran  itu telah menghadapi tentangan daripada Grand–Secretary Wo-jen, iaitu pendukung utama sarjana Neo-Confucian.

Beliau mempersoalkan bagaimanakah mereka harus menerima pelajaran orang yang tidak bertamadun berbanding kebaikan ajaran China sendiri. Lupakah orang China terhadap penaklukan orang asing ke atas Peking dan membakar Iatana Musim Panas. Oleh kerana pendirian beliau yang tidak bersetuju dengan pembahruan ini, Wo-jen telah menolak untuk menjadi ahli Tsungli Yemen dengan memberi alasan tidak sihat.  Selain itu, sarjana China juga menghalang beberapa langkah pembangunan China  kerana perasaan cemburu dalam kalangan mereka. Misalnya,Yung Wing sering mendapat tentangan daripada beberapa pegawai sarjana tertinggi negara China apabila beliau berusaha untuk meningkatkan pencapaian Gerakan Menguatkan Diri . Usaha beliau yang cuba membawa sebanyak 120 pelajar China ke Hartford, Connecticut ini juga ditentang oleh pihak sarjana klasik yang tidak percaya bahawa hubungan dengan pihak Barat boleh menyebabkan mereka lupa dan meninggalkan ajaran moral Konfusius.



PEMBERONTAKAN TAIPING

Pada abad ke-19, kedudukan Dinasti Ching berada pada kedudukan yang lemah selepas kekalahannya dalam perang menghadapi Barat. Sistem pentadbirannya yang lemah seperti rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa juga menyumbang kepada kelemahan dinasti tersebut. Pemerintah Dinasti Ching pada masa itu juga merupakan seorang pemerintah yang lemah iaitu Maharaja Hsien-feng (1851-1861). Kelemahan-kelemahan pemimpin Manchu telah menimbulkan tanggapan bahawa pemerintah Dinasti Manchu kehilangan mandat dari syurga. Hal ini menyebabkan muncul persatuan sulit untuk menyatukan orang China dalam menundukkan dinasti asing itu.

          Tokoh yang memimpin kebangkitan Taiping merupakan seorang anak petani dari selatan China yang bernama Hung Hsiu-chuan. Ahli-ahli Taiping terdiri daripada kumpulan masyarakat bawahan seperti pekerja lombong, pendayung sampan, petani tidak bertanah dan ahli-ahli persatuan sulit serta pelarian, penyuludup, tentera yang dipecat, lanun dan penganggur. Pemberontakan ini sebenarnya cuba mewujudkan unsur ketuhanan dengan menggunakan kepercayaan rakyat cina mengenai usaha untuk memulihkan semula kepercayaan shangdi iaitu kepercayaan tradisional masyarakat cina yang telah digabungkan dengan unsur–unsur Kristian.  Dinasti Qing yang menggunakan gelaran Huangdi iaitu sama dengan Shangdi menyebabkan rakyat percaya bahawa Hung Hsiu-chuan mendapat mandat daripada tuhan untuk melakukan pembaharuan dengan menggulingkan pemerintahan Qing.  Perkataan Di membawa maksud “High” dalam Bahasa Inggeris dapat dilihat pada hujung kedua–dua nama iaitu huangdi dan shangdi. Hal ini memberikan kaitan di antara pemerintahan Manchu dengan pemerintahan yang ingin dipulihkan oleh Hong Hsiu-chuan.


 “ what we wear and clothe all come from heaven, even drop a drop of water and food we eat are from Heavenly Shangdi”. “ heaven is Shangdi.” “ there are no others God except the heavenly Shangdi.’ God is the only true creation god.”

Antara rancangan pembaharuan yang dicadangkan olehnya ialah sistem tanah yang dijanjikan oleh Hong Hsiu-chuan juga menarik orang ramai untuk terlibat dalam kebangkitan penentangan ini.  Pada masa itu, pemerintahan Manchu yang tidak telus dari segi hak milik tanah dan mengamalkan sistem feudal membebankan rakyat terutama golongan petani. Keadaan ini membebankan mereka kerana hasil titik peluh mereka tidak jmemberikan pulangan yang lumayan kepada mereka kerana terpaksa membayar cukai. Setiap individu yang melepasi umur 16 tahun tidak kira lelaki mahupun perempuan akan mendapat bahagian tanah.  Bagi golongan petani, perkara ini amat menguntungkan mereka kerana anak–anak mereka akan mendapat tanah dan ini membantu untuk menambah hasil pendapatan keluarga. Walaupun pada dasarnya, tanah tersebut bukan hak milik mereka dan mereka tidak boleh menyimpan harta namun pemberian tanah untuk menghasilkan pendapatan memberi semangat kepada golongan petani bahawa adanya kesamarataan semua anggota msyarakat. Tidak ada pihak yang akan mendapat lebih dan hasil bersama akan disimpan di stor awam. Berbanding dengan semasa pemerintahan Manchu yang memiliki sepenuhnya hak terhadap tanah dan dikawal oleh pegawai yang dilantik.

           Antara capaian gerakan Taiping ialah mereka telah berjaya menawan Yung-an. Mereka telah memecahkan kepungan oleh tentera kerajaan pada April 1852. Mereka meneruskan peperangan ke Hunan dan menawan ibu negeri wilayah tersebut iaitu Changsa. Gerakan pemberontakan diteruskan semula ke utara dengan penawanan Yochow pada 13 Disember 1852. Mereka berjaya merampas banyak senjata yang telah ditinggalkan oleh tentera kerajaan. Nanking menjadi sasaran seterusnya bagi tentera Taiping, Pada 19 hingga 21 Mac 1853, Nanking telah berjaya ditawan. Hung Hsiu-chuan telah menukar nama Nanking kepada “ibu negeri syurga”.Titik perubahan dalam Gerakan Taiping mula tercetus pada tahun 1860. Hal ini kerana pihak kuasa Barat mula melihat Kerajaan Taiping mula mengancam mereka. Hal ini adalah disebabkan kejayaan Raja Setia menawan Hangchow dan Soochow.  Dalam senarai serangan ini, Shanghai mungkin menjadi sasaran yang seterusnya mengikut perkiraan Barat. Hal ini membimbangkan mereka kerana Shanghai merupakan pusat perdagangan dan perniagaan di China.

           Tindak balas atas serangan Taiping, satu kumpulan tentera asing telah ditubuhkan oleh pihak barat dengan perlantikan Federick Townsand sebagai ketua bagi mempertahankan serangan daripada Taiping. Pasukan ini mendapat sokongan daripada Li Hung-chang. Li Hung-chang dan dua orang pegawai iaitu Tseng Kuo-fan dan Tso T’ung T’ang telah ditugaskan membentuk tentera baru yang dipanggil Tentera Huai. Dengan ini, tentera Huai berjaya menyerang kedudukan Taiping di sekitar Shanghai dan Soochow serta wilayah Kiangsu. Manakala Tso T’ung T’ang berjaya menyerang dan menawan kedudukan Taiping di Chekiang untuk memutuskan bekalan makanan ke Nanking. Oleh itu, Nanking telah dikepung oleh tentera. Keadaan genting ini telah menyebabkan Hung Hsiu-chan mengambil tindakan membunuh diri dan digantikan oleh anaknya iaitu Hung Fu. Tentera dibawah pimpinan Tseng Kuo-fan telah berjaya memasuki Nanking dan membunuh semua pengikut Taiping dan Hung Fu berjaya dijejaki dan dibunuh di Kiangsi. Sementara itu, Raja Setia telah ditangkap tetapi dilayan dengan baik oleh Tseng Kuo-fan. Akhirnya, pergerakan Taiping berjaya dipadamkan pada 1864. 



GERAKAN 100 HARI

Kang Yu wei ( 1858-1927) merupakan tokoh yang dilahirkan di Nan-hai, Kwangtung dalam sebuah keluarga yang berada. Pada tahun 1882, beliau telah mengunjungi Shanghai dan mengagumi dengan pentadbiran gaya Barat di Shanghai. Beliau mula memikirkan cara untuk memajukan negaranya. Pada tahun 1888, memorial pertama mula ditulis kepada kerajaan China untuk mengajak ke arah kemajuan. Namun, penulisannya tidak disampaikan kepada maharaja kerana ditapis. Hal ini kerana penulisannya menganggap beliau sebagai seorang yang gila. Seterusnya, syarahan telah diadakan di Kwangtung untuk menyebarkan ideanya. Syarahan-syarahannya telah menarik minat ramai. Apabila China telah dikalahkan oleh Jepun dalam Perang Sino-Jepun pada tahun 1895, beliau berpendapat bahawa reformasi perlu dilakukan dan ini telah menjadi isu utama pada masa tersebut. Ketika Perjanjian Shimonoseki, beliau telah menulis memorialnya yang kedua dan mendapat tandatangan seramai 1,200 orang sarjana. Dalam memorialnya yang kedua berpendapat bahawa China harus mencontohi Jepun.

          Selain itu, Kang Yu Wei telah menerbitkan akhbar Chung Wai Chi Wen (Buletin Dunia) pada 1895. Akhbar ini telah diedarkan secara percuma kepada pegawai kerajaan.Usahanya berhasil menarik minat  dan sokongan beberapa orang pegawai kerajaan. Antaranya ialah Wen Ting shih dan Chen Chih. Idea Kang Yu Wei telah diluaskan lagi oleh Wen Ting Shih dengan menubuhkan sebuah persatuan yang dikenali sebagai Chiang Hsueh Hui (Persatuan Belajar Menjadi kuat) di Peking.  Antara aktiviti yang dijalankan  oleh persatuan ini ialah syarahan, penterjemahan buku dari Shanghai dan bercadang untuk menubuhkan perpustakaan. Aktiviti dan usaha pembaharuan yang dilakukan oleh kumpulan pembahruan ini telah menimbulkan kebimbangan kepada pihak Maharani Balu Tzu-hsi dan pengikutnya. Mereka mula bertindak dengan menghalau Kang Yu Wei keluar daripada Peking manakala   pengedaran akhbar Chung Wai Chi Wen  pula dihentikan. Oleh sebab itu, Kang Yu Wei telah pergi ke Shanghai. Dengan sokongan Chan Chih tung  Gabenor Jeneral Liangkiang cawangan Chiang Hsueh–Hui di Shanghai, 4 tugas utama penubuhan ini ialah menterjemahkan dan mencetak buku, menerbitkan surat khabar, menubuhkan perpustakaan dan menubuhkan muzium. Selan itu, Kang Yu Wei dan pengikutnya juga menubuhkan Pao Kuo Hui (Persatuan Melindungi Negara), ia bertujuan untuk melindungi China iaitu pemerintahan Dinasti Ching. Usaha Kang Yu Wei yang menghantar beberapa memorial yang menyeru pembahruan akhirnya menarik minat maharaja dan akhirnya Maharaja Kuang Hsu telah mengeluarkan dikri  untuk manjalankan pembahruan pada 11 Jun 1898.

             Kang Yu Wei juga telah dilantik sebagai ahli Tsungli Yemen . Pembahruan ini dikenali sebagai Pembahruan Seratus Hari. Istana maharaja telah mengeluarkan dikri untuk memberi penjelasan tentang perubahan di China. Ia juga bertujuan untuk menjadikan China sebagai sebuah Negara yang moden dan berperlembagan.  Lebih daripada 110 dikri dikeluarkan sepanjang pembahruan ini.  Antara dikrinya ialah   pendidikan yang menggantikan  “the Eight – Legged Essay” dalam peperiksaan awam kepada esei berkaitan isu-isu semasa, menubuhkan Universiti Kemaharajaan di Peking dan sekolah moden di wilayah yang akan mengajar pengajaran China dan Barat. Sebuah sekolah perubatan di bawah Universiti Kemaharajaan juga dicadangkan untuk dibina.Di dalam pentadbiran Kerajaan pula, penghapusan terhadap badan kerajaan yang tidak menjalankan tugas sebenar dan tidak penting juga dicadangkan termasuk Gabenor di Hupeh, Kwangtung dan Yunnan, Pengarah Urusan bagi Sungai Kuning, Penjaga (intendants) Circuit untuk pengangkutan bijirin dan penjaga garam. Beliau juga menyarankan agar kerajaan progresif dibentuk, memajukan pentadbiran dengan lebih cekap, menghapuskan gaya kerja yang lembap, dan menyusun prosedur kerja baru untuk urusan pentadbiran keajaan. 

           Namun, pemulihan ini mendapat tentangan daripada pihak konservatif. Reformasi ini dianggap telah mengancam order lama di China. Golongan konservatif mula berasa terancam apabila banyak jawatan dihapuskan dan digantikan. Maka golongan konservatif ini telah menuduh Kang Yu Wei dan rakan-rakanya sebagai perampas kuasa.  Hal ini dapat dilihat dengan perancangan untuk membunuh Junglu iaitu seorang pembantu Maharani.Tetapi rancangan ini telah digagalkan oleh Yuan Shih kai yang telah mendedahkan rancangan ini kepada Junglu. Setelah tiga bulan reformasi dijalankan, rampasan kuasa telah dilakukan oleh Maharani Balu Tzu Hsi dan pentadbiran konservatif dipulihkan semula pada 21 September 1898 , dan Kang Yu Wei terpaksa melarikan diri ke Hong Kong melalui bantuan pihak  British dan seterusnya mendapatkan perlindungan di Jepun. Di samping itu,  wang tunai  juga telah ditawarkan oleh pihak istana kepada sesiapa yang berjaya membunuh Kang Yu Wei. Pembunuh upahan juga telah diupah oleh pihak istana untuk membunuh beliau di Jepun tetapi usaha ini berjaya digagalkan oleh pihak Jepun.  Liang Chi chao juga berjaya melarikan diri ke kedutaan Jepun dan kemudiannya dibawa ke Jepun. Manakala enam orang pengikutnya telah ditangkap, dibicara dan dijatuhkan hukuman bunuh atas tuduhan menderhaka kepada maharani oleh Grand Council. Gerakan ini juga gagal akhirnya. Gerakan ini tamat apabila golongan konservatif berjaya menguasai China semula. Daripada kegagalan pembaharuan ini juga kita dapat kesan bahawa China perlu memperbaiki sistem pentadbiran negara mereka. 

Selepas rampasan kuasa ini  beberapa perubahan telah dilakukan oleh Maharani Balu Tzu Shi. Kerajaan Dinasti Ching telah dikuasai oleh kumpulan konservatif. Antara ahli konservatif yang dilantik sebagai ahli Grand Council ialah Junglu dan Yulu Chi hsiu sebagai setiausaha Grand Council. Selain itu, Maharani Bali Tzu Hsi juga telah menukar Li Hung chang daripada jawatan Gabenor Jeneral Chihli ke selatan China. Junglu telah mengambil alih jawatan  beliau. Dengan penguasaan golongan konservatif dalam kerajaan Ching mereka telah mengamalkan dasar perlindungan kedaulatan China serta menolak permintaan kuasa asing untuk meluaskan pengaruh di China.



PERGERAKAN BOXER

Ancaman imprealisme asing terhadap China boleh dilihat apabila China mengalami kekalahan dalam perang dengan Jepun pada tahun 1895. Situasi ini telah menyebabkan China terpaksa membayar ganti rugi kepada kerajaan Jepun. Kesannya, kerajaan China terpaksa meningkatkan cukai ke atas penduduknya. Contohnya semasa pemerintahan Maharaja Tung Chih, dikatakan nilai cukai telah meningkat sebanyak dua kali ganda. Selain itu, selepas perang candu, cengkaman ekonomi oleh  kuasa asing  telah memberi kesan negatif kepada ekonomi domestik di China. Cukai kastam yang hanya mengenakan 5% telah mengancam ekonomi tempatan terutamanya dalam industri kapas. Kain kapas asing lebih murah berbanding keluaran kain kapas yang dihasilkan oleh industri tempatan iaitu 1/3 lebih murah daripada harga tempatan.  Keadaan menjadi lebih teruk apabila syarikat  - syarikat  dan kapal-kapal asing mula masuk ke China.  Situasi ini menyebabkan beberapa industri di China terpaksa ditutup dan membawa kepada pembuangan ramai pekerja.

          Agama Kristian yang dibawa oleh orang Barat juga telah mengancam kedudukan agama dan kepercayaan tardisi China seperti Konfusius, Taoism dan Buddha.  Perjanjian Tientsin dan Konvensyen Peking telah memburukkan keadaan lagi.  Melalui Perjanjian Tientsin, golongan mubaligh boleh bergerak ke pedalaman China dan melalui Konvensyen Peking pada tahun 1860, gerakan mubaligh diberi hak untuk menyewa dan membeli tanah untuk tujuan pembinaan gereja. Disebabkan golongan mubaligh boleh bergerak bebas di China, usaha mengkristiankan orang China semakin galak. Mereka juga bersedia untuk melindungi pemeluk agama Kristian daripada tindakan undang-undang tempatan.  Masalah bencana alam seperti kemarau yang melanda di utara dan barat laut China telah menyebabkan tanaman harian tidak subur dan menyebabkan kebuluran berlaku terhadap penduduk China di utara. Terdapat kepercayaan bahawa kejadian kemarau dan diikuti dengan kebuluran ini kerana Tuhan marah kepada penduduk China yang meninggalkan ajaran nenek moyang mereka. Maka orang China diseru untuk menyertai Boxer sebelum tentera dari syurga turun menentang agama Kristian di China.  Mereka juga beranggapan bahawa aktiviti- aktiviti imprelisme asing yang menganggu alam sekitar seperti pembukaan kawasan lombong pembinaan jalan kereta api dan telegraf. Aktiviti-aktiviti itu orang asing ini didakwa pengikut Boxer telah membawa kepada kemarahan tuhan yang membawa bencana kepada rakyat China. Oleh itu,  orang China mempunyai tanggungjawab untuk mengahapuskan orang asing yang berada di bumi China.

           Kumpulan Boxer ini percaya bahawa kuasa asing harus disingkir secara kuasa sakti dam membantu membina masyarakat China yang baru serta memulakan sebuah zaman keemasan. Antara sepanduk yang mereka edarkan ialah “Kematian dan kemusnahan untuk orang asing dan semua usaha mereka”. Musuh utama mereka ialah orang Barat, orang China yang memeluk agama Kristian dan orang yang menggunakan barangan barat. Penentangan ini bermula pada tahun 1898 di Shantung dan sepanjang sempadan Chihli. Banyak berlaku peristiwa pembunuhan ke atas orang China Kristian dan mubaligh Kristian.  Apabila Boxer melakukan keganasan di Tsinan, Chining dan beberapa bandar lain Yu Hsien, gabenor Shantung telah menyebelahi gerakan Boxer ini dan tidak bertindak terhadap gerakan tersebut. Pada 21 Jun 1900, Maharani Tzu Shi telah mengistiharkan perang ke atas kuasa asing. Beliau menyatakan bahawa, “ China adalah lemah. Hanya rakyat China boleh membantu jika tiada sokongan mereka maka kita tidak akan dapat menyelematkan Negara ?”.   Akibatnya, banyak harta orang asing musnah termasuk beberapa pejabat kedutaan terbakar.

         Terdapat pemimpin China yang tidak menyokong pergerakan Boxer ini contohnya seperti Li Hung-chang dan Chang Chih-tung telah mengabaikan arahan berperang dengan kuasa asing. Akibatnya kebangkitan Boxer ini hanya berlaku di beberapa kawasan sahaja, terutamanya di Peking, Tientsin, Manchuria, Mongolia dan Shansi. Pada 13 Ogos 1900, kuasa barat berjaya menawan Peking, Maharani dan Maharaja telah melarikan diri ke Sian, Shensi. Pergerakan Boxer ini juga telah menemui kegagalan. Apabila Kuasa asing berjaya, mereka telah mengenakan hukuman yang berat ke atas China. Melalui  perjanjian yang dikenali sebagai Protokol Boxer pada 7 September 1901, ia mengandungi 12 perkara antaranya ialah misi memohon maaf, kerajaan China diminta membina tugu peringatan, dan memohon maaf kepada Maharaja Jerman. Selain itu, perjanjian tersebut meminta pemimpin yang menyokong boxer dihukum dan digantung peperiksaan awam di beberapa wilayah. Kuasa barat mendapat hak untuk mengekalkan tentera di Peking bagi menjaga kedutaan.


KOMIUNTANG

Penduduk China semakin hari semakin marah dengan dengan dinasti Ch’ing. Mereka percaya bahawa dinasti tersebut telah hilang mandat dari syurga. Oleh sebab itu, gerakan anti-Manchu bangkit semula dan menjadi aktif pada awal 1900an. Salah seorang pemimpin China yang terlibat dalam parti ini ialah Sun Yat-Sen. Beliau merupakan salah seorang tokoh penting dalam nasionalisme. Kuomintang diasaskan oleh Dr Sun Yat Sen dengan idea utamanya iaitu “Three People Principles”  iaitu “The Principle of Nationalism, Principle of Democracy dan Priciple of People’s Livelihood”.

          Parti Kuomintang berasal dari gerakan Tongmenghui, yang juga dikenali sebagai Kesatuan Liga Cina, Persekutuan Revolusi Cina, Persekutuan Rakyat Cina dan Persatuan Persepakatan Bersatu dan ia merupakan sebuah persatuan sulit dan pergerakan bawah tanah yang ditubuhkan oleh Sun Yat-sen, Song Jiaoren, dan beberapa orang lagi di Tokyo, Jepun pada 20 Ogos 1905 dan mempunyai keahlian seramai 400 orang dengan Sun Yat-Sen sebagai pengerusi. Pertubuhan ini juga mempunyai lidah rasminya iaitu Min Pao (Akhbar Rakyat) .Tujuan Tongmenghui adalah menggulingkan dinasti Manchu (Ch’ing), pembentukan sebuah republik, pembahagian semula tanah, mendapatkan simpati kuasa-kuasa besar kepada perjuangan pemberontakan itu dan menguasai kerajaan apabila republik dibentuk.

 KESIMPULAN

Kesimpulannya, terdapat banyak gerakan yang berlaku pada penghujung abad ke-19 namun, gerakan yang paling menyerlah ialah gerakan yang dipimpin oleh Sun Yat-Sen. Gerakan ini merupakan gerakan penyokong republik serta aktivitis penentang Manchu. Gerakan ini semakin popular dalam kalanagn rakyat dan menerima banyak tabung Cina perantauan dan juga mendapat sokongan politik daripada pegawai-pegawai tentera daerah. Falsafah politik Sun Yat-Sen yang dikonsepsikan pada tahun 1897 dijelaskan buat kali pertamanya di Tokyo pada tahun 1905 dan diubahsuai pada sepanyang awal 1920an.

          Pemberontakan di Wuchang, pada 10 Oktober 1911 dicetuskan oleh unit-unit tentera yang tidak puas hati terhadap pemerintahan Manchu. Pemberontakan ini dikenali sebagai Pemberontakan Wuchang diraikan sebagai Hari Kesepuluh Kembar di Taiwan. Pemberontakan Wuchang merebak dengan cepatnya ke kota-kota yang berjiran dan ahli-ahli Tongmenghui di seluruh negara bangkit untuk memberikan bantuan kepada tentera revolusi Wuchang. Pada 12 Oktober, tentera revolusi berjaya untuk menawan Hankao dan Hanyang.Namun, kegembiraan tidak bertahan lama kerana terpaksa berdepan dengan tentera Yuan Shikai yang dilantik istana Ch’ing.

          Walaupun demikian, 15 daripada 24 buah provinsi telah mengisytiharkan kemerdekaan daripada empayar Ch’ing. Sebulan kemudian, Sun Yat-Sen yang berada di Amerika untuk memungut tabung dalam kalangan China kembali ke China. Pada 1 Januari 1912, para wakil dan provinsi-provinsi merdeka memilih Sun Yat-Sen sebagai presiden Sementara Republik China. Manakala pada 10 Mac, Yuan Shikai mengangkat sumpah sebagai Presiden Sementara kedua. Dalam pilihan raya umum untuk parlimen dwidewan yang diadakan pada Februari 1913, dan Komiuntang menang banyak kerusi.



Comments

Popular Posts