Pengaruh Agama Dalam Sistem Pentadbiran
Pengenalan
Istilah Asia Tenggara ini mula
digunakan dengan luasnya dalam masa Perang Dunia Kedua dulu yang meliputi
negeri-negeri di sebelah timur Tanah Besar Asia, yang terdiri daripada
Semenanjung Indo-China, dan gugusan-gugusan Indonesia dan Filipina. Umumnya, Asia
Tenggara meliputi dua jenis masyarakat besar iaitu negeri-negeri di Tanah Besar
dan negeri-negeri kepulauan. Kedua-duanya terdiri daripada Vietnam, Kemboja,
Laos, Thailand, Myanmar, Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Indonesia dan
Filipina. Sistem kerajaan Asia Tenggara pada zaman tradisional boleh dikatakan
telah dibentuk oleh penyerapan pengaruh-pengaruh luaran ke dalam suatu teras
yang bersifat asli. Aspek agama boleh dikatakan merupakan pengaruh utama dalam
mempengaruhi dan membawa pengubahsuaian pada struktur pentadbiran negara
tersebut sebelum penguasaan Barat ke atas negara di Asia Tenggara.
Hindu
Agama Hindu merupakan salah satu
daripada agama utama di dunia yang telah lama bertapak di Asia Tenggara.
Agama Hindu berasal daripada perkataan ‘Sindhu’ yang berkaitan dengan Sungai
Indus. Bagi penganut agama Hindu, mereka percaya kepada jelmaan tuhan atau
penitisan dewa (incarnation) dengan raja sebagai pilihannya. Dari sini, wujud
konsep ‘Dewaraja’ di mana raja diserapi dengan sifat ketuhanan dan dipandang
sebagai penitisan dewa(avatar) Siva atau Vishnu. Kekuatan dan kesaktian raja
dapat ditambah melalui pertapaan atau semadi, upacara tertentu ataupun melalui
barang pusaka seperti senjata dan alat-alat bunyian. Hal ini menyebabkan wujud
konsep pemerintah suci atau raja sebagai perantara manusia dengan tuhan atau
raja merupakan wakil atau simbol Tuhan di muka bumi dengan rakyat berada di
bawah pengawasannya. Dalam struktur pemerintahan berasaskan Hindu, dengan
kedudukan raja yang luar biasa sebagai Dewaraja itu, maka wujudlah sistem
feudalisme yang melahirkan taat setia yang membuta tuli (unquestioning loyalty)
terhadap raja. Dengan adanya kepercayaan dalam kalangan rakyat bahawa raja
adalah titisan dewa dan mempunyai ‘daulat’ dan ‘kesaktian’, maka rakyat akan
patuh dan taat terhadap apa sahaja perintah raja, meskipun perintah atau
undang-undang yang dikenakan itu zalim dan tidak berperikemanusiaan. Contoh
kerajaan yang memerintah pentadbiran berasaskan agama Hindu ialah kerajaan
Angkor. Raja Suryavarman II membina Angkor Wat menurut kepercayaan Hindu yang
meletakkan gunung Meru sebagai pusat dunia dan dianggap tempat tinggal
dewa-dewi Hindu. Sebagai contohnya, dapat dilihat pada Jayavarman I yang
dianggap sebagai (amsa) Siva, sedangkan Airlangga sendiri dipuja sebagai
penjelmaan Dewa Vishnu, seperti yang tergambar pada patung sebagai Vishnu yang
sedang menunggang garuda.
Buddha
Agama Buddha berasal daripada
perkataan buddha: kata kerja ‘budh’ yang bererti bangun iaitu bangun daripada
kesesatan dan keluar di tengah-tengah cahaya pemandangan yang benar. Bersaing
untuk mendapatkan pengaruh tetapi di asia tenggara agama ini bersatu. Agama
Buddha membawa aliran Hinayana dan Mahayana. Aliran budha Hinayana mempunyai
sifat-sifat tertutup, dalam artian aliran yang berpendapat bahwa setiap orang
hanya dapat mengejar pembebasan dari samsara untuk dirinya sendiri. Sedangkan
aliran budha Mahayana mempunyai sifat-sifat terbuka, dalam arti setiap umat
manusia berhak menjadi seorang Budha sehingga pengaruhnya dapat membebaskan
dirinya dan orang lain dari samsara (kesengsaraan). Contoh kerajaan yang
mengamalkan agama Buddha ialah kerajaan Ayuthia. Ketika pemerintahan Trailok
atau Bromo Trailokanat (1448-1488) iaitu putera kepada Boromoraja II, pengaruh
agama sangat dominan dalam masyarakat Ayuthia yang mana masyarakatnya menganut
agama Buddha. Para sejarawan telah menyebut bahawa raja Trailok telah
mencukurkan kepalanya dan menjadi sami di sebuah tokong. Menurut sistem
perkelasan masyarakat, masyarakat di Ayuthia disusun kepada beberapa lapis dan
raja merupakan orang yang berada di lapisan teratas dan merupakan ketua atau seorang
yang mengepalai kerajaannya. Sistem hierarki atau piramid ini ditentukan oleh
konsep yang terdapat dalam agama Buddha iaitu konsep bun (pahala) dan bab
(dosa). Ianya berdasarkan kitab agama Buddha iaitu rakyat percaya bahawa
kedudukan dan kehidupan seseorang itu setelah mati adalah ditentukan oleh
perlakuannya semasa hidup. Kepercayaan yang kuat terhadap agama telah
membuatkan masyarakat Ayuthia terikat dengan sistem piramid dan selagi golongan
raja menguasai golongan Phrai Luang, maka seseorang raja itu akan menjadi
seorang pemerintah yang kuat dan dapat membina pemerintahan yang utuh. Pemerintahan
di negara Thai dipengaruhi oleh agama Buddha Theravada. Pada akhir abad ke-18,
Rama 1 telahpun memulakam proses membuddhakan sistem pemerintahannya yang dipengaruhi
oleh amalan agama Hindu. Baginda telah mengeluarkan perintah yang melarang
rakyat negara Thai yang memberi penghormatan yang mulia kepada kuasa ghaib,
malahan rakyat mesti menghormati agama Buddha sepenuhnya. Susunan hierarki
masyarakat Thai tradisional dalam pemerintahan juga ditentukan oleh
konsep-konsep agama iaitu bun (pahala) dan bab (dosa).
Islam
Agama Islam yang dibawa oleh Nabi
Muhammad S.A.W yang telah berkembang sehingga ke Eropah, Asia Timur dan Asia
Tenggara. Agama Islam ini dikembangkan oleh pedagang yang melalui laluan di
Asia Tenggara untuk sampai ke China. D. R. SarDesai mengatakan bahawa
penerimaan pengaruh luar ini hanya berlaku apabila pedagang daripada India
sampai ke Asia Tenggara. Beliau menambah, pada abad ke-8, telah ada masyarakat
Arab di China, kawasan barat India, Java dan Sumatra. Dalam ajaran agama Islam
ini, golongan pemerintah harus menunjukkan sifat kepimpinan yang tinggi seperti
jujur, adil, amanah dan bijaksana. Kemasukan agama ini ke Asia Tenggara seperti
di Indonesia, Tanah Melayu dan Brunei telah mengubah landskap politik di Asia
Tenggara yang pada asalnya didominasi oleh pengaruh Hindu-Buddha.Kedatangan
agama Islam telah membawa perubahan yang besar dalam bidang politik secara
langsung telah memperkenalkan sistem pentadbiran secara kesultanan di rantau
ini. Terdapat unsur-unsur yang dibawa oleh Islam, umpamanya gelaran-gelaran
yang berasal dari Timur Tengah seperti sultan, syah. Pelaksanaan sistem mufti
sebagai penasihat hal ehwal agama Islam khususnya adalah merupakan suatu
pembaharuan yang bererti. Malah secara khusus sultan atau raja telah dianggap
sebagai khalifah (pengganti Nabi). Sultan atau raja dianggap sebagai pelindung
undang-undang Islam. Secara teorinya, kedudukan seorang raja Islam dalam
geokosmologi politik dan agama Islam, adalah yang tertinggi sekali dan tidak
dapat dipertikaikan. Raja juga dilihat sebagai hidup atau mati sesebuah
masyarakat. Kerajaan yang bererti keadaan yang mempunyai raja mencerminkan
pentingnya raja dalam sesebuah masyarakat, tanpa raja yang berdaulat, tiadalah
negara. Raja juga harus bermoral tinggi dan taat kepada agama. Konsep perajaan
Muslim yang diamalkan oleh raja-raja di rantau Asia Tenggara mengesahkan dengan
nyata tentang pentingnya keperibadian raja kepada jatuh atau bangun masyarakat
masing-masing mahupun dalam politik serantau. Raja menjelmakan jiwa negaranya.
Contohnya Pada pertengahan abad ke-18 dan awal abad ke-19, Pattani disifatkan
sebagai pusat agama Islam di Asia Tenggara. Warisan inilah yang dijadikan sebagai
tali penghubung di kalangan orang Islam Pattani untuk terus menentang kerajaan
pusat sejak Pattani dimasukkan ke dalam penguasaan politik Siam semasa
pemerintahan Rama I (1782-1809).
Confucianisme
Vietnam merupakan wilayah tunggal yang
menerima pengaruh Neo-Konfusius di Asia Tenggara. Penguasaan China yang memakan
masa seribu tahun juga telah banyak memberi impak ke atas aspek politik wilayah
berkenaan. Setelah Vietnam mendapatkan kemerdekaan, mereka tetap menganggap
China sebagai role model. sebelum hadirnya kuasa Barat ini, Vietnam telah
meniru atau menyesuaikan aspek politik mereka bersandarkan kepada negara China.
Pengaruh daripada negara ini nampak jelas semasa pemerintahan T’ang Dynasty
(618-907 AD). Raja dianggap sebagai Son of Heaven (Thien-Tu) dan ibu kota
dibina berdasarkan corak ibu kota China yang terdiri daripada tiga bulatan
sepusat. Penyebaran fahaman Konfusius dilakukan oleh Wangsa Le dalam kalangan
rakyat Indo-China dengan memperkenalkan birokrasi bercorak China. Sejak itu,
hubungan Vietnam-China semakin rapat melalui sistem tributari. Peter Church
menegaskan bahawa sejak abad ke-15, Vietnam memiliki penyusunan organisasi yang
hampir sama dengan China, cumanya berbeza dari segi saiznya. Dalam organisasi
birokrasi itu sendiri, ahlinya terdiri daripada golongan yang berpendidikan
Konfusius. Pemilihannya berdasarkan kepada peperiksaan awam yang dijalankan
untuk mereka yang ingin memasuki ke dalam sistem pentadbiran. Bukan itu sahaja,
pengaruh China ini turut diserap ke dalam undang-undang, sistem pentadbiran,
penulisan dan seni. Malah, golongan berpendidikan Konfusius ini lebih cenderung
untuk menggunakan bahasa China berbanding bahasa Vietnamese.
Selain itu, Ajaran Kungfutze yang
telah diterapkan ke dalam masyarakat Vietnam merupakan aliran yang paling
berpengaruh berasaskan tulisan-tulisan Zhu Tsi ( 1130-1200), iaitu seorang ahli
fikir yang terkemuka dari golongan cendekiawan yang digelar neo-Confucianis.
Ajaran Kungfutze mementingkan keharmonian hidup sesama manusia dan manusia
dengan alam. Ianya bukan sahaja menjelaskan bentuk hubungan di antara kumpulan
manusia itu sendiri, tetapi juga menuntut pengikutnya mengamalkan jenis-jenis
kebaikan seperti kebajikan, menuntut ilmu, bersikap ikhlas dan menjaga adat
atau tatausila. Seperti di negara China, pengamalannya dilakukan dengan
berasaskan buku-buku klasik yang begitu dimuliakan dan disifatkan sebagai
dokumen penting sistem politik dan tindakan moral yang dipercayai sebagai
warisan turun–temurun zaman kegemilangan raja-raja silam. Buktinya, Minh Mang
(1820-41) misalnya, merasakan kekurangan moral peribadinya bertanggungjawab
kepada bencana alam yang berlaku semasa awal pemerintahannya dan juga dengan
kedatangan Perancis.
Penutup
Kesimpulannya, agama merupakan aspek
terbesar dalam mempengaruhi sesebuah negara terutamanya sistem pemerintahan.
Kepentingannya dalam masyarakat dapat dilihat di sesebuah negara di asia
khususnya dalam sistem pemerintahan selain menunjukkan ketamadunan sesebuah
negara. Hal ini dapat dilihat dengan jelas perubahan struktur pentadbiran
sebuah negara berdasarkan agama yang mempengaruhi pentadbiran tersebut.
Gelaran, corak pentadbiran dan konsep yang dipakai oleh pemerintah jelas
menunjukkan bahawa agama merupakan pengaruh terbesar dalam sesebuah sistem
pemerintahan.
Comments
Post a Comment