Permulaan Kuasa British di Negeri Sembilan, Kesan Daripada Perjanjian Pangkor

Credit to owner : Peta Negeri Sembilan

Permulaan kuasa British di Negeri Sembilan bermula dengan masalah perebutan kuasa dalam menjawat jawatan Yamtuan Besar. Hal ini sekaligus membuka ruang dan peluang kepada kuasa Barat untuk campur tangan dalam masalah yang berlaku serta meluaskan pengaruh dan kuasanya. Masalah ini memberi peluang kepada British untuk menghulurkan tangan dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dengan meletakkan seorang residen di negeri tersebut. Contoh peristiwa yang boleh dikaitkan adalah seperti peristiwa Kemangkatan Yamtuan Radin pada 1866. Kemangkatannya memberi peluang kepada abangnya iaitu Yamtuan Imam untuk menaiki takhta sebagai Yamtuan Besar.


Perebutan takhta telah berlaku di antara Tunku Antah (anak Yamtuan Radin) dengan Tunku Ahmad Tunggal (anak Yamtuan Imam) apabila Yamtuan Imam telah meninggal pada 1869. Pergaduhan dan perebutan kuasa tersebut menjadi lebih hangat dan  teruk apabila Datuk Kelana iaitu pembesar Sungai Ujong memberi sokongan kepada Tunku Ahmad Tunggal. Situasi menyebabkan Tunku Antah menjadi marah terhadap Datuk Kelana. Hal ini telah menyebabkan wilayah Terachi menjadi tuntutan masing-masing apabila pergaduhan telah sampai ke kemuncak. 


Pada tahun 1875, Datuk Kelana telah menuntut Terachi sebagai daerah di bawah pengaruh kekuasaannya. Permintaan Datuk Kelana telah dipersetujui oleh Patrick James Murray yang merupakan Residen British yang baru di Sungai Ujong. Namun, pada penghujung November 1875, Patrick James Murray menerima laporan yang mengatakan bahawa Tunku Antah telah memecat pembesar Terachi yang dilantik oleh Datuk Kelana. Hal ini telah menyebabkan Patrick James Murray besama Leftenan Hixnman dan beberapa pasukan polis datang melawat Terachi pada 27 November. 


Peristiwa ini membuatkan Tunku Antah melancarkan gerakan menentang British pada tahun 1875.  Tunku Antah dan pasukannya dapat dikalahkan oleh pihak Datuk Kelana dengan mudah dengan adanya bantuan British. Gabenor British telah menasihati Tunku Antah supaya kembali semula ke Negeri Sembilan dan menjadi Yamtuan Seri Menanti sahaja. Seterusnya, Yamtuan Antah telah menandatangani satu perjanjian bersama dengan Gabenor Negeri-negeri Selat. Artikel pertama di dalam perjanjian tersebut mengiktiraf Tunku Antah sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti yang berkuasa ke atas daerah seperti Muar, Jempol, Gunung Pasir, Terachi dan Inas. Yamtuan juga bersetuju dalam menerima nasihat daripada British berhubung dengan soal pemerintahan dalam negeri. Hal ini jelas menunjukkan bahawa British berjaya dalam memperluaskan kuasa dan mengawal negeri melayu dengan mengeksploitasi kuasa pemerintah.


Hubungan sesama pembesar di Negeri Sembilan yang tidak begitu baik juga punca kepada kemasukan kuasa Barat ke Negeri Sembilan. Punca kepada permasalahan ini adalah kerana tindakan Datuk Kelana A. Rahman yang cuba mengukuhkan kuasanya dengan melibatkan British. Hal ini terjadi kerana Raja Mahdi dan Raja Mahmud dari Selangor telah menawarkan  bantuan kepada Datuk Bandar dan perkara ini menyebabkan Datuk Kelana merasakan kedudukannya tergugat. Peristiwa ini bermula apabila Datuk Kelana menandatangani satu perjanjian menerima perlindungan Inggeris ke atas Sungai Ujong pada 21 April 1874. Datuk Kelana juga telah meminta kepada Gabenor Sir Andrew Clark di Singapura bagi membuat jalan raya dan sebuah rumah penjara di Sungai Ujong pada tahun tersebut.  Datuk Kelana juga telah meminta supaya Tuan Isemonger menjadi Residen di Sungai Ujong.


Namun, permintaan Datuk Kelana tidak dipenuhi oleh British kerana pada masa tersebut British masih lagi menjalankan dasar tidak campur tangan sepenuhnya ke atas Tanah Melayu tetapi British mengiktiraf Datuk Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong. Perkara ini cukup membuatkan Datuk Bandar marah dan benci terhadap Datuk Kelana kerana beliau juga menuntut hak yang sama iaitu ingin menjadi pemerintah di Sungai Ujong. Datuk Bandar juga telah mengugut Datuk Kelana bahawa dia akan menimbulkan huru-hara di Sungai Ujong. Hal ini telah menyebabkan Kerajaan Inggeris di negeri-negeri Selat menghantar satu pasukan mata-mata seramai 60 orang bersama-sama dengan 44 orang kuli dan diketuai oleh pegawai Inggeris yang bernama Tuan Pickering.  Namun, pada 10 Oktober 1874, bendera British telah dinaikkan di sisi rumah Datuk Kelana di Ampangan dan tembakan meriam sebanyak 21 kali das tembakan dilepaskan bagi menghormati hari kenaikan bendera tersebut. Hal ini jelas menunjukkan bahawa penglibatan British di Sungai Ujong telah menyebabkan permusuhan berlaku dalam kalangan pembesar Melayu.


Di samping itu, kemasukan Barat telah menyebabkan Penubuhan persekutuan yang juga telah dikemukakan oleh Frank Swettenham pada tahun 1892 kepada Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Cecil Smith. Pada tahun 1893, Cecil Smith telah menghantar laporan kepada Pejabat Tanah Jajahan mencadangkan penubuhan persekutuan. Persekutuan merupakan satu bentuk kesatuan yang terdiri daripada sebilangan negeri atau rantau yang separuh berpentadbiran sendiri yang disatukan oleh satu kerajaan pusat. Perjanjian Persekutuan ini telah ditandatangani pada 12 Jun 1895 dan telah dikuatkuasakan pada 1 Julai 1896. Perjanjian ini berfokuskan kepada matlamat mereka iaitu menjalankan dasar British di negeri-negeri Melayu. Bagi pendapat British, penubuhan persekutuan akan memberi kebaikan daripada segi politik, ekonomi dan sosial kepada British dan Negeri Melayu. Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan selepas kejayaan British dalam penubuhan persekutuan di Amerika Utara, India, Afrika, Australia dan New Zealand. Pelaksanaan dasar British ini dapat dilihat apabila British menyatukan  daerah negeri Sembilan yang masih berpecah dan di bawah naungan pemerintah masing-masing. Contoh daerah negeri Sembilan yang cuba disatukan ialah Rembau.


Contohnya peristiwa pergaduhan yang berlaku antara Haji Sahil dan Syed Hamid iaitu Penghulu Rembau. Pergaduhan ini berlaku adalah kerana perebutan dalam jawatan sebagai Yamtuan muda Tampin. Konflik yang berlaku antara pembesar di Rembau memberi peluang kepada British dalam meluaskan  pengaruhnya dengan campur tangan ke atas masalah yang berlaku dengan helah mereka sebagai penyelamat dan penyelesai masalah. Pada 31 Mac 1877, sebuah perjanjian telah ditandatangani antara British dan Haji Sahil tetapi lebih kepada mendisiplinkan diri Haji Sahil yang memegang jawatan sebagai Penghulu Rembau dan tidak melibatkan daerah Rembau. Perjanjian yang ditandatangani tersebut hanya melibatkan Haji Sahil, Pihak British dan juga Maharaja Johor.  Namun Haji Sahil telah dikenakan hukuman dibuang negeri kerana gagal meneruskan adat dan beliau juga telah menyalahi beberapa undang-undang di daerah Rembau. Seterusnya, satu lagi pertelingkahan di Rembau telah timbul dan melibatkan para pembesar tentang pemungutan dan pengagihan hasil yang tidak teratur. Pada bulan September 1887, satu perjanjian telah ditandatangani dan seorang pegawai British yang telah dilantik sebagai Pemungut Hasil dan Majistret bagi mengelakkan daripada berlakunya lagi pertelingkahan antara pembesar di Rembau.  Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa British telah berjaya menguasai daerah Rembau daripada segi ekonomi sekaligus politik.  Penguasaan British di Rembau merupakan satu lambang kejayaan pihak British dalam menyatukan Negeri Sembilan bagi membentuk Negeri-negeri Bersekutu.


Kekayaan Negeri Sembilan dengan hasil bijih timah menarik minat kuasa Barat untuk meluaskan kuasanya. Ekoran itu, pada abad  ke-19, Sungai Ujong menjadi tumpuan yang utama bagi para pedagang akibat jumpaan bijih timah yang banyak. Buktinya, terdapat seramai 15,000 orang pelombong Cina di Sungai Ujong menjelang tahun 1874.  Namun, pada mulanya tumpuan British hanya tertumpu pada Sungai Ujong kerana hasil bijih timah yang banyak. Hal ini bertepatan dengan permintaan dunia bijih timah yang telah meningkat berikutan dengan perusahaan menyadur timah bagi mengetin makanan di Britain dan Amerika Syarikat menjelang abad ke-19.  Hal ini jelas menunjukkan bahawa campur tangan British di Negeri Sembilan iaitu Sungai Ujong adalah bagi memenuhi keperluan industri pengetinan di Britain dan Amerika Syarikat.


Keuntungan  hasil bijih timah yang banyak telah menyebabkan Sungai Linggi dikenakan cukai yang tinggi. Hal ini kerana Sungai Linggi merupakan satu-satunya jalan bagi mengeksport bijih timah. Pergaduhan antara pembesar-pembesar juga mula tercetus bagi menentukan pihak yang berhak mengenakan cukai ke atas timah yang dieksport. Peristiwa ini membuka peluang kepada British dalam ‘membantu’ pembesar menyelesaikan kemelut antara mereka. Oleh itu, Residen Patrick James Murray diletakkan di Sungai Ujong bagi  memberi nasihat. Hal ini menyebabkan British berkuasa penuh terhadap pengutipan cukai di Sungai Ujong. Perkara ini sekaligus menindas dan mengurangkan kuasa yang dipegang oleh pembesar. Pihak British berjaya menguasai ekonomi di Sungai Ujong dengan memonopoli bijih timah dan juga berkuasa dalam kutipan cukai di Sungai Linggi.








Comments

Popular Posts