Pemenjaraan minda pelajar Sultan Idris Training College

Bangunan Suluh Budiman- Credit to owner

Penubuhan sebuah maktab perguruan pusat merupakan idea daripada R.O Winstedt sekembalinya beliau daripada lawatan ke Jawa dan Filipina bagi mengkaji sistem persekolahan anak–anak negeri dan industri yang berjalan di tanah jajahan yang lain. The Sultan Idris Training College (SITC) telah diperkenankan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Jalil Shah pada 1917 sebagai mengenang jasa dan perjuangan baginda dalam pendidikan apabila perisytihan penubuhan SITC dilakukan dalam persidangan Residen-residen pada 10 Mei 1917.  Penubuhan SITC adalah bagi:

menganjurkan sebuah maktab perguruan pusat didirikan sebagai menggantikan maktab-maktab yang sekarang ini, di sebuah tempat di Perak yang akan dipilih kerana kesuburan tanahnya, kedudukan yang berhampiran dengan jalan kereta Api, sungai dan pekan kecil, kedudukannya yang ditengah-tengah. Maktab ini hendaklah dapat mengisi 200 orang murid yang berasrama selama tiga tahun dan ia mungkin didirikan bagi mengingati Almarhum Sultan Perak dan dinamakan The Sultan Idris Training College for Malay Teachers. Tanjung Malim telah dicadangkan sebagai tempat yang sesuai.

Pada 29 November 1922, SITC telah dirasmikan oleh Sir W. George Maxwell, iaitu Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada masa tersebut. Penubuhan SITC dianggap sebagai satu era baru yang menyemarakkan alam pemikiran dan pendidikan bangsa Melayu. Hal ini kerana kebanyakan mereka terdiri daripada anak nelayan dan petani. Tuan Wolffe dalam ucapannya sewaktu perasmian SITC menyatakan bahawa hari tersebut menandakan titik bersejarah bagi orang Melayu kerana ia merupakan titik tolak dalam perkembangan pendidikan vernakular Melayu. Namun hakikat sebenarnya matlamat pendidikan orang melayu itu tidak ada bezanya dengan matlamat penjajah terhadap pendidikan orang Melayu seperti sebelumnya.

Tumpuan British mengenai pelajaran Melayu di SITC adalah berdasarkan dua perkara utama iaitu mengekalkan struktur masyarakat Melayu serta memodenkan pelajaran kaum kerabat diraja. British melaksanakan pendekatan yang berbeza kepada masyarakat Melayu dalam menjalankan dasar pendidikan sepanjang penjajahan mereka. Golongan masyarakat kelas atasan Melayu  diberikan keutamaan dalam hal-hal pendidikan untuk menempatkan mereka dalam bidang pekerjaan yang lebih maju manakala golongan  bawahan Melayu diterapkan dengan nilai-nilai tradisi dan kekampungan bagi menyekat kemajuan mereka.  Buktinya, Malay College Kuala Kangsar (MCKK) telah ditubuhkan khusus untuk anak-anak golongan bangsawan Melayu sahaja. Perlaksanaan dasar pendidikan terhadap golongan bawahan ini sememangnya dilaksanakan bagi menjaga kepentingan-kepentingan pihak British. Dasar penyekatan telah digunakan dalam membangunkan sistem pendidikan di Tanah Melayu. Hal ini kerana:

tujuan British bukannya untuk mengeluarkan segelintir pemuda yang terpelajar dan bukan juga untuk mengeluarkan kanak-kanak yang kurang terpelajar melainkan sebenarnya untuk memperbaiki keadaan sebahagian besar rakyat dan untuk menjadikan anak-anak nelayan dan petani yang lebih cerdik daripada bapa-bapa merekadan menjadikan mereka manusia yang dengan pelajaran mereka boleh memahami bagaimana jalannya tugas hidup mereka dapat disesuaikan dengan kehidupan dikeliling mereka.

Dasar penyekatan British adalah bertujuan untuk mengongkong dan membendung mobiliti dan pemikiran tradisional dan primitif atau kekampungan orang-orang Melayu seperti yang disebar luas oleh pemerintah British melalui pegawai-pegawai tingginya. Malahan, dasar ini sering ditegaskan dalam laporan-laporan tahunan F.M.S (Federated Malay States) dan Pejabat Pendidikan Negeri. O.T. Dussek, Pengetua Maktab Perguruan Sultan Idris pada tahun 1935 juga berulangkali menegaskan bahawa adalah merbahaya kepada pemerintah Inggeris di Malaya untuk memajukan pendidikan untuk orang Melayu.

Dasar penyekatan British boleh dilihat dengan lebih jelas melalui kurikulum yang ditawarkan di SITC. Secara umum, kurikulum SITC dibahagikan kepada dua objektif yang besar, iaitu yang pertama mereka diberikan pengetahuan tentang cara hidup di kampung yang lebih baik daripada ibu bapa mereka. Oleh itu, mereka diajarkan ilmu pertanian, pekerjaan tangan, dan pertukangan. Kedua, mereka diberi pengetahuan untuk mengelakkan buta huruf serta menyediakan mereka menjadi pekerja bawahan. Pada peringkat permulaan maktab, disebabkan para penuntut yang datang kesemuanya dari sekolah-sekolah desa, Dussek menekankan bahawa mereka mesti dididik disamping mengajar cara mengajar. Maktab Sultan Idris juga menumpukan perhatiannya kepada soal mempelajari, menggunakan dan mengembangkan bahasa, kesusasteraan dan sejarah Melayu. Apa yang disebutkan “mata pelajaran kota orang-orang Barat” seperti ilmu hisab, ilmu alam dan sains tidak berapa dipentingkan.  Contoh pelajaran asas yang diajarkan adalah tentang Karangan, Nahu, Sastera, Ilmu Kira-kira, Tawarikh, Agama, Nyanyian, Geografi, Kesihatan, Pedagogi dan sebagainya.

Selain itu, penubuhan SITC melengkapkan sebuah pusat latihan guru-guru kerana perakuan Winstedt pada tahun 1917 mendapati Maktab Melayu Melaka tidak lengkap dalam melatih guru-guru kerana tidak mempunyai ilmu pertanian walaupun terdapat ilmu praktikal seperti pertukangan dan anyaman bakul.  Di maktab, teori-teori bercucuk tanam yang tutut diajar di bilik darjah diberi kesempatan untuk dipraktikkan. Contoh teori yang diperkenalkan dalam bercucuk tananm seperti teori berkebun. Teori berkebun termasuk mengenali tanah, tumbuh-tumbuhan, pembajaan, musuh tannaman dan fisiologi tumbuh-tmbuhan. Pemilhan Tanjong Malim sebagai tapak maktab baru adalah disebabkan faktor kesuburan tanahnya yang perlu diambil kira.  Guru-guru lepasan SITC selepas menjalani tiga tahun pendidikan berorientasikan kedesaan, kemudiannya akan kembali ke kampung-kampung menjadi agen penyebaran Winstedt.

Penubuhan SITC merupakan satu cadangan Winstedt sendiri. Sebagai sebuah pusat latihan guru, yang akan menjadi penghubung dalam sistem persekolahan untuk orang Melayu. SITC perlu ditubuhkan agar bakal guru-guru sekolah vernakular Melayu terlebih dahulu diberi persediaan baik dari segi minda mahupun ilmu dan keterampilan. Seperti yang dijelaskan, guru-guru Melayu yang akan menyempurnakan cita-cita Winstedt yang telah dilatih terlebih dahulu di SITC. Guru merupakan personal yang akan melaksanakan secara praktikal apa yang tersurat dan tersirat dalam dasar pendidikan sesebuah negara. Di institusi latihan guru mereka ini terlebih dahulu dibentuk  dan bersedia memainkan peranan sebagai agen-agen yang akan melaksanakan dasar dan falsafah pendidikan pihak yang menguasai sistem pendidikan tersebut.

Berdasarkan matlamat terebut, perkara yang akan diajarkan di sekolah-sekolah Vernakular Melayu itu jugalah yang diajarkan kepada bakal-bakal guru di  SITC. Jika kita meneliti kurikulum di SITC, jelas sekali unsur orientasi kedesaannya. Kecondongan kurikulum tersebut terhadap kemahiran-kemahiran yang bercorak manual dan praktikal dan tidak ke arah ilmu yang lebih akademik. SITC bukanlah dirancang untuk membuka fikiran orang melayu, kerana bahasa Inggeris sememangnya tidak diajarkan kepada bakal-bakal guru di sana.   Walaupun masih terdapat O.T. Dussek sebagai pengetua dan beberapa tenaga pengajar dari Eropah, tenaga pengajar yang diambil dalam kalangan Melayu juga, tidak mendapat pendidikan Inggeris.  Perkara ini jelas menunjukkan bahawa sekolah Vernakular di Tanah Melayu adalah untuk memelihara status quo orang Melayu dan bukanlah bertujuan untuk melahirkan orang Melayu yang cerdik pandai. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa sebenarnya orang Inggeris tahu pendidikan tinggi itu seperti Bahasa Inggeris merupakan cara yang membolehkan mereka berlumba-lumba dengan jayanya dalam masyarakat kolonial pelbagai bangsa.

Pembelajaran di SITC juga adalah sedikit terhad disebabkan kurangnya bahan pelajaran seperti buku pada masa tersebut. Kebanyakannya dikarang oleh pegawai Inggeris yang sedang bertugas di Tanah Melayu seperti R.O.Winstedt, O.T. Dussek dan A. Keir dengan dibantu oleh pengarang tempatan seperti Mohd. Hashim Hj. Telib dan Ibrahim bin Dato’ Muda Linggi.  Selepas tertubuhnya Pejabat Karang-Mengarang, barulah berlaku pertambahan buku-buku dari semasa ke semasa. Penularan sekular juga boleh dilihat melalui pengajian agama yang dijalankan di SITC. Hal  ini kerana Pengajian Agama Islam diajar kepada pelajar tetapi tidak dimasukkan dalam pengiraan mata gred.  Di sini jelas menyebabkan persepsi bahawa pelajaran berkaitan dengan agama menggambarkan imej tidak penting dan dilihat seperti tiada nilai tambah dalam kehidupan.

Kesimpulannya, penubuhan SITC dari kaca mata penduduk Melayu menganggap bahawa penubuhan institut tersebut akan membawa perubahan dalam kehidupan masyarakat Melayu dengan melahirkan generasi baru yang akan mengubah nasib negara dan keluarga. Namun, British hanya menggunakan SITC sebagai usaha dalam menghalang masyarakat Melayu mendapat pendidikan tinggi dan menentang mereka serta bagi mengekalkan status quo masyarakat Melayu tanpa kita menyedarinya.


Comments

Popular Posts