SEKOLAH ALIRAN INGGERIS DI TANAH MELAYU

-Credit to owner-

Pengaruh budaya Barat merupakan satu peringkat baru dalam perkembangan budaya Melayu, khususnya sejak kedatangan Inggeris di negara ini seperti memperkenalkan sistem pelajaran berasaskan Barat. British telah memperkenalkan sekolah aliran Inggeris yang telah dicadangkan oleh J.P.Rodger pada tahun 1903. Secara umumnya, sekolah Inggeris pada zaman penjajahan British terbahagi kepada tiga kategori iaitu sekolah Inggeris yang ditubuhkan oleh persatuan-persatuan pendakwah Kristian seperti Katholik, Methodist, La Salle, dan Protestan, sekolah kerajaan seperti Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dan juga sekolah Inggeris persendirian. Kebanyakan sekolah Inggeris yang ditubuhkan di Malaya merupakan sekolah Inggeris yang ditubuhkan oleh persatuan-persatuan pendakwah Kristian seperti Katholik, Methodist, La Salle, dan Protestan.
      Penubuhan sekolah Inggeris terutamanya sekolah Inggeris yang ditubuhkan oleh mubaligh Kristian ini mempunyai kurikulum yang berasaskan ajaran Kristian. Dalam pendidikan, hubungan antara gereja dan sekolah adalah sangat rapat. Institusi pendidikan merupakan sebahagian daripada organisasi luas pihak gereja sehingga dalam prinsip dan perlaksanaannya, ia juga tergolong dalam sistem gereja. Bagi sekolah Inggeris yang dibina oleh mubaligh, tujuan penubuhan sekolah ini adalah menyediakan pendidikan umum serta membaiki akhlak berdasarkan ajaran Kristian. Sekolah-sekolah yang didirikan oleh golongan Kristian ini, bertujuan untuk mengembangkan agama Kristian dan ilmu pengetahuan. Buktinya, isu pelajar perempuan yang disuruh menghafal doa dalam agama Kristian menyebabkan  sekolah Inggeris mendapat beberapa kritikan hebat kerana telah dianggap seperti mencabar amalan Islam. Selain itu, pada tahun 1870, sekolah aliran Inggeris perempuan iaitu Sekolah Convent Infant Jesus, pada peringkat awalnya mempunyai sukatan pelajaran yang digunakan adalah kemahiran membaca, menulis, mengira dan satu mata pelajaran wajib iaitu pembelajaran kitab Bible.
Tenaga pengajarnya juga datang dari pelbagai latar belakang. Bagi sekolah Inggeris yang dikelolakan oleh pihak pendakwah Kristian, guru-guru mereka terdiri daripada paderi-paderi yang mendapat pendidikan dari maktab dan universiti di Eropah. Contohnya, paderi Katolik di Pulau Pinang telah memohon kepada penguasa gereja di Perancis supaya menghantar bantuan dan hasil rayuan mereka tibalah penguasa-penguasa dari orde ‘Brother of the Christian School’ ataupun ringkasnya dikenali sebagai ‘de la Salle Brothers’, dan orde ‘Sisters of the Holy Infant Jesus’ atau ‘Dames de Saint Maur’ ke Tanah Melayu. Kedua-dua orde ini merupakan orde pendidikan mengenai Brothers dan Sisters ini bertindak sebagai mubaligh dan juga guru. Mereka memulakan tugas mereka di tanah Melayu pada tahun 1852.
Bagi sekolah Inggeris kerajaan pula, tidak ada institusi khas bagi melatih guru-guru. Perkara ini berlanjutan sehingga tahun 1905 apabila kerajaan menubuhkan Kelas Normal di Kuala Lumpur, dan seterusnya pada tahun 1907 di Pulau Pinang bagi melatih guru-guru. Sebelum penubuhan rasmi Universiti Malaya di Singapura pada 1949, guru-guru berijazah untuk mengajar di sekolah-sekolah menengah Inggeris mendapat latihan daripada Maktab Raffles dan Universiti Hong Kong. Hal ini menyebabkan pelajar Melayu yang berpendidikan Inggeris kurang mengetahui budaya dan sejarah bangsanya sendiri. Selain itu, guru-guru juga kebanyakannya bukan mendapat pendidikan tempatan hinggalah Kelas Normal ditubuhkan. Pengajaran di sekolah-sekolah Inggeris berbentuk sekular dan amat menekankan nilai hidup dan pengaruh kebudayaan Barat. Mata pelajaran dan bahasa penghantar juga mengikut acuan daripada Barat. Perkara ini sedikit sebanyak telah menyebabkan anak-anak Melayu sukar disemai dengan nilai hidup dan budaya tempatan. Hal ini boleh dikaitkan dengan kurangnya penekanan ajaran agama Islam di sekolah terutamanya sekolah-sekolah Inggeris. Buktinya, pakaian seragam sekolah bagi sekolah Inggeris perempuan berbeza dengan sekolah Melayu kerana mengenakan skirt pendek dan baju kemeja lengan pendek.
Penubuhan sekolah-sekolah Inggeris di Tanah Melayu sedikit sebanyak telah berjaya menerapkan ajaran-ajaran barat di sekolah. Hal ini adalah membimbangkan kerana sekolah merupakan titik mula kepada masyarakat dalam mendapatkan pendidikan. Kemasukan ajaran-ajaran Barat seperti pengajaran doa dan kitab bible kepada orang Melayu menjadikan  agama Islam dan budaya Melayu semakin goyah.


Rujukan Bacaan
  • Nazirah Lee. (2015).  British dan Masyarakat Muslim di Malaya. (ed. Abdullah Zakaria Ghazali dan Mohd. Supian Sabtu) Bhakti Pendeta. (Hlm 480-496). Kuala Lumpur: Seasons Sdn Bhd.
  • Sufean Hussin. (1993). Pendidikan di Malaysia:Sejarah Sistem dan Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
  • Muhammad Ridzuan Bin Idris. (2016). Perkembangan Pendidikan Wanita Melayu di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu 1896-1941. Kuala Lumpur:Universiti Malaya.
  • Nabir Haji Abdullah. (1990). Imperialisme Budaya. (Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad) Kolonialisme di Malaysia dan Negara-negara Lain. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd. 
  • Wan Sulong. Wan Suhana. (2011). Malays' education under the British: reality and perspectives. In: Tradition, modernity and Islam: revisiting history across the regions in the nineteenth and twentieth century. Kuala Lumpur: IIUM Press. 

Comments

Post a Comment

Popular Posts