Pemilikan Bosnia-Herzegovina oleh Austria-Hungary

Kawasan Balkan
Bosnia-Herzegovina merupakan sebuah kawasan yang terletak di Semenanjung Balkan dan merupakan tanah jajahan daulah Uthmaniyah. Bosnia-Herzegovina merupakan zon yang mendapat perhatian kuasa-kuasa besar Eropah dan konflik yang berlaku di Bosnia-Herzegovina memberi peluang kepada mereka bagi menjatuhkan kuasa daulah Uthmaniyah dan meluaskan kuasa mereka bagi kepentingan negara masing-masing.

 
Kerajaan Uthmaniyah menjadi semakin lemah apabila Rusia menyatakan perang ke atas Turki pada 16 April 1877. Lanjutan daripada perang yang berlaku, satu persidangan  perdamaian dilakukan dengan kuasa-kuasa besar di San Stefano pada 3 Mac 1878.  Perjanjian San Stefano merupakan kesepakatan yang ditandatangani pihak Rusia dan kerajaan Uthmaniyah dengan tujuan mengakhiri peperangan yang berlaku dan telah berlangsung sejak 1877. Namun, British berkeras untuk menyemak semula perjanjian San Stefano bagi melindungi daulah Uthmaniyah dan telah mencapai kata sepakat untuk berjumpa di Berlin bagi membincangkan hal tersebut.

Perjanjian Berlin yang telah ditandatangani pada 13 Julai 1878 telah menyebabkan kerajaan Uthmaniyah kehilangan kebanyakan daerah kekuasaannya dan populasinya yang sesetengahnya terdiri daripada umat Islam.  Hal ini kerana menurut pensyaratan dalam perjanjian Berlin, sebahagian daerah Bulgaria merdeka, begitu juga seluruh Montenegro, Serbia dan Rumania. Bosnia-Herzegovina juga terpaksa diserahkan secara sementara oleh kerajaan Uthmaniyah kepada Austria-Hungary. Pemberontakan yang berlaku di Bosnia-Herzegovina pada tahun 1875 hingga 1878 telah menyebabkan Austria-Hungary diberi mandat oleh kuasa-kuasa besar melalui perjanjian Berlin secara sementara sehingga keamanan dapat dipulihkan semula di negara tersebut.  Namun, selepas mentadbir Bosnia-Herzegovina selama 30 tahun, Austria-Hungary telah mengisytiharkan Bosnia-Herzegovina merupakan sebahagian daripada empayarnya yang kekal pada tahun 1908.

Tindakan Austria-Hungary dengan mengisytiharkan Bosnia-Herzegovina sebagai hak miliknya telah menyebabkan masalah timbul dan mendapat reaksi daripada kuasa besar yang lain termasuk daulah Uthmaniyah. Semasa pengisytiharan tersebut dilakukan oleh Baron Aehrenthal iaitu menteri luar Austria-Hungary, daulah Uthmaniyah baru sahaja tamat revolusi Gerakan Turki Muda yang meletus pada Julai 1908.  Gerakan tersebut bertujuan menyusun semula sosial, ekonomi dan budaya hidup di tengah-tengah zaman pemerintahan autokratik sultan Abdul Hamid II. Gerakan ini juga ingin mengadakan pembaharuan organisasi pemerintahan dengan menentang pemerintahan yang dipimpin oleh Sultan Abdul Hamid. Oleh yang demikian, keadaan politik daulah Uthmaniyah masih dalam keadaan yang kucar-kacir dan bermasalah.

Tindak balas pertama yang dilakukan oleh daulah Uthmaniyah semasa mendengar pengisytiharan Austria-Hungary bahawa Bosnia-Herzegonina adalah hak miliknya ialah dengan mengumumkan bahawa tindakan Austria tersebut tidak akan diiktiraf oleh daulah Uthmaniyah.  Hal ini kerana Perjanjian Berlin yang ditandatangani pada tahun 1878 hanya memberikan hak sementara kepada Austria-Hungary untuk memerintah Bosnia-Herzegovina kerana Bosnia-Herzegovina masih sah di bawah hak milik daulah Uthmaniyah dan tindakan Austria-Hungary ini juga dilabelkan sebagai mencabuli perjanjian yang telah ditandatangani.

Tindakan Austria-Hungary juga menyebabkan rakyat Turki berasa marah kerana Bosnia-Herzegovina merupakan sebahagian daripada daulah Uthmaniyah. Pada tahun 1908, apabila Bosnia-Herzegovina dirampas oleh Austia-Hungary, barangan-barangan daripada Austia-Hungary telah diboikot, dan antara barangan yang diboikot termasuk topi tarbus yang merupakan simbol utama daulah Uthmaniyah. Dengan itu, rakyat telah melaksanakan mogok terhadap pengimportan dan penggunaan barang-barang dari Austria-Hungary sebagai tanda protes.  Hal ini secara tidak langsung menyebabkan kerajaan Austria-Hungary mengalami kerugian. Kerajaan Austria-Hungary telah mendesak kerajaan Uthmaniyah supaya menghentikan tindakan memboikot barangan namun, permintaan kerajaan Austria-Hungary tidak mendapat layanan, sebaliknya kerajaan Uthmaniyah memberi galakan dan sokongan kepada rakyat supaya memboikot barangan kerajaan Austria-Hungary. Hal ini secara langsung membuka peluang kepada kuasa besar yang lain menjadi pilihan barangan menggantikan barangan kerajaan Austria-Hungary.


Pallavinci telah mencadangkan kepada Aehrenthal supaya mengambil alih sebahagian daripada hutang Uthmaniyah, kerana tanpa pampasan kewangan Uthmaniyah tidak akan bersedia untuk menghentikan boikot.  Pada hujung Disember, Aehrenthal telah bersetuju untuk menerima cadangan Pallavinci untuk menawarkan Uthmaniyah sebanyak dua million Turki pound sebagai pampasan. Pada 12 Januari 1909, Kiamil Pasha telah menerima memorendum Austia-Hungary yang antaranya menyatakan tentang pengiktirafan Uthmaniyah terhadap pengambilan Bosnia-Herzegovina.  Daulah Uthmaniyah menerima memorendum daripada Austria-Hungary adalah kerana keadaan kewangan dan masalah politik dalaman dan luaran yang buruk.



          

Comments

Popular Posts