Kejatuhan Bani Umayyah


Bani Umayyah merupakan kerajaan yang tertubuh selepas kematian Saidina Ali Ibn Abi Talib pada 661 Masihi dan sumpah ikrar atau Bai’ah yang telah diangkat oleh Hasan Ibn Ali terhadap Mu’awiyah Ibn Abu Sufyan. Mu’awiyah Ibn Abu Sufyan merupakan Khalifah pertama bagi kerajaan Bani Umayyah. Nama Kerajaan ini diambil bersempena dengan nama keturunan Bani Umayyah iaitu Umayyah Ibn Abdu Syams Ibn Abdu Manaf. Namun, kerajaan ini juga mengalami krisis serta berakhir disebabkan kekangan yang berlaku dalam kerajaan Bani Umayyah.


Antara faktor yang menjadi punca kepada kejatuhan Bani Umayyah adalah disebabkan sistem pentadbiran yang lompang. Perlantikan putera mahkota secara warisan atau turun-temurun sebagai pemegang jawatan Khalifah Bani Umayyah yang seterusnya menimbulkan pelbagai masalah dan krisis dalam kerajaan Bani Umayyah. Krisis yang berlaku dalam keluarga Umayyah adalah masalah perebutan kuasa yang menyebabkan goyahnya institusi keluarga dan kejatuhannya yang berlaku kira-kira dalam tiga dekad. Masalah perebutan kuasa boleh dilihat dengan jelas semasa pemerintahan Khalifah Sulaiman dan Khalifah Hisham. Hasrat mereka yang ingin menjadikan keturunan mereka sebagai pemegang jawatan khalifah yang seterusnya menyebabkan masalah dalam keluarga Umayyah. Contohnya, Khalifah Sulaiman yang bercadang untuk menukar wasiat ayahnya dan melantik anaknya sendiri bagi menggantikan beliau dan Khalifah Hisham bercadang mengeluarkan al-Walid daripada senarai memegang jawatan Khalifah dan ingin melantik anaknya sebagai putera mahkota yang seterusnya. Walaupun khalifah sebelumnya telah melantik dua nama sebagai khalifah seterusnya. Usaha mereka dalam menjadikan anak mereka sebagai Khalifah, siri pembalasan dendam telah dilakukan oleh keluarga khalifah dan menyebabkan goyahnya institusi keluarga Umayyah dan secara tidak langsung menyumbang kepada kejatuhannya.


Selain itu, cara dan perlaksanaan pentadbiran yang berasaskan budaya Arab iaitu berpuak merupakan salah satu faktor kepada permasalahan dalam pentadbiran. Budaya berpuak memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seharian orang Arab sehingga pemilihan bagi perkhidmatan tentera juga dikehendaki melalui ujian kesukuan. Budaya berpuak berpaksi kuat dalam kehidupan orang Arab kerana orang Arab juga pada masa tersebut didaftarkan di bawah satu suku yang dikenali sebagai “Sistem Mawali”. Penyebaran agama Islam yang meluas menyebabkan ramai penduduk tempatan yang memeluk Islam dan secara tidak langsung menyebabkan orang Arab menjadi minoriti dalam kalangan komuniti. Pemerintahan Umayyah yang digelar sebagai negara Arab dan hanya untuk orang Arab jelas kelihatan apabila jawatan pegawai tinggi dalam pentadbiran seperti Gabenor, Timbalan Gabenor, Ketua tentera semuanya dimonopoli oleh orang Arab sahaja terutamanya di wilayah timur. Hal ini menyebabkan orang Islam yang bukan Arab tidak berpuas hati dan pergolakan berlaku kerana mereka percaya bahawa Islam menawarkan hidup yang sama rata dan mereka merasakan hak mereka dirampas. Rentetan ini, mereka bertekad menyokong dalam membantu mana-mana pembaharu yang ingin memperbetulkan keadaan.


Walaupun budaya berpuak menjadi tunjang kepada orang Arab dalam menjadi amalan kehidupan seharian serta menjadi paksi dalam menjalankan pentadbiran namun, masalah berkenaan kesukuan juga timbul disebabkan persaingan yang kuat antara puak di Umayyah. Dua puak utama dalam kerajaan Umayyah ialah puak Yemenis dan Mudaris. Puak Yemenis ialah orang Arab yang tinggal di utara dan puak Yemenis orang Arab selatan yang tinggal di sepanjang pantai Teluk Arab, laut Arab dan laut merah. Kedua-dua suku kaum ini memandang rendah terhadap satu sama lain dan mereka memandang tinggi terhadap suku masing-masing. Selepas penyebaran Islam, persaingan puak semakin menjadi kerana orang-orang Arab dari utara mendapat martabat tinggi kerana Nabi Muhammad saw adalah daripada kalangan mereka dan hal ini menyebabkan persaingan yang menyebabkan permusuhan. Tindakan khalifah dalam menggunakan satu suku kaum bagi menentang suku yang lain bagi melemahkan mereka. Namun tindakan khalifah dalam menggunakan satu suku kaum bagi menentang suku yang lain menyebabkan siri pemberontakan dan peperangan terhadap Umayyah pada satu sudut dan di antara putera Umayyah di sisi lain. Contohnya, teknik ini boleh dilihat dalam pemerintahan Khalifah Hisham pada 105 hingga 125 Hijrah, beliau menukarkan gabenor Mudaris bagi mengurangkan kuasa suku Mudaris dan pada akhir pemerintahan beliau, beliau mengambil tindakan drastik dengan menukar polisi dan menyokong suku Mudaris menentang suku Yemen semula.


Selain itu, kekangan dalam kewangan juga menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Umayyah. Masalah kewangan yang berlaku di Umayyah adalah berpunca daripada peperangan yang berterusan, kekurangan pendapatan dari segi harta rampasan(Ghana’im) dan Jizyah. Peperangan yang berterusan telah menjejaskan ekonomi penduduk kerajaan Umayyah seperti pertanian dan juga saluran pengairan. Justeru, kesan secara langsung adalah berlaku penurunan dalam pengeluaran produk pertanian dan cukai yang jatuh secara mendadak. Selain itu, peperangan berterusan juga menyebabkan kerajaan Umayyah banyak menghabiskan hasil pendapatan atau kewangan ke atas penyokong sebagai bayaran tambahan dalam menyediakan keperluan seperti askar tambahan. Perkara ini jelas terbukti dan boleh dilihat semasa pemerintahan Yazid I iaitu beliau telah membayar 100 Dinar sebagai tambahan kepada a'ta setiap askar yang mengambil bahagian dalam kempen al-Hijaz.

Penyebaran agama Islam telah menyebabkan ramai penduduk yang memeluk Islam dan menyebabkan penurunan kadar pembayaran Jizyah keranan kurangnya orang yang bukan Islam. Kebanyakan orang yang baru memeluk Islam juga telah berpindah daripada kawasan luar bandar ke pusat bandar bagi menikmati kehidupan mereka di bandar dan untuk mendaftarkan nama mereka untuk 'ata yang menyebabkan penurunan dalam bilangan petani di kawasan luar bandar. Langkah drastik telah diambil oleh al-Hajjaj bagi membendung masalah kewangan. Contohnya, al-Hajjaj memutuskan bahawa semua saudara baru perlu membayar jizyah. Hal ini menyebabkan kepincangan dalam kerajaan Umayyah kerana umat Islam, orang-orang Arab dan bukan Arab menentangnya kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam. Seterusnya, khalifah Umar II telah membuat perubahan dengan mengarahkan gabenor-gabenor supaya menghentikan pengutipan cukai Jizyah daripada orang yang baru memeluk Islam dan melarang orang Islam daripada membeli tanah kharaj. Namun, dasar ini tidak berjalan secara berterusan kerana kematian Umar II.


Antara faktor lain yang menyebabkan kejatuhan Umayyah adalah disebabkan parti pembangkang. Syi’ah merupakan salah satu parti yang banyak memberikan kerajaan Umayyah cabaran dalam mempertahankan kerajaan tersebut. Syi’ah merupakan penyokong keluarga Ali Ibn Abi Talib dan mereka menganggap sesiapa yang memegang jawatan khalifah dan bukan berasal daripada keturunan Ali adalah perampas kuasa. Pemberontakan parti pembangkang Syi’ah adalah berpunca daripada kematian Hussein Ibn Ali Ibn Abi Talib dan keluarganya dan hal ini menyebabkan bermulanya siri pemberontakan yang melemahkan kuasa Umayyah. Pemberontakan pertama yang dibuat oleh Syi’ah adalah selepas perang Kerbla pada 61 Hijrah. Syi’ah menjadi sangat terkenal semasa Syi’ah pimpinan al-Mukhtar al-Thaqafi sehingga dikenali sebagai Kaysaniyyah. Konsep Kaysaniyyah mempunyai konsep yang berbeza dengan konsep Sunnah iaitu mereka sangat fanatik dan bercanggah dengan ajaran Islam. Hal ini kerana percaya bahawa Imam Mohamad Ibn al-Hanafiyya tidak meninggal dunia, dan dia telah tinggal di bukit yang berdekatan Madinah dan akan datang kembali bagi mengetua penyokong-penyokongnya.


Parti pembangkang Khawarij pula dikenali kumpulan yang telah berpecah daripada (Kharaju) tentera Khalifah Ali dalam perang Siffin, dan menarik balik pengiktirafan mereka terhadap Ali sebagai Khalifah dan menafikan tuntutan Mu'awiyah. Khawarij menolak konsep Syi’ah berkaitan dengan perlantikan khalifah dan menganggap sesiapa yang layak boleh dilantik menjadi Khalifah dan mereka juga mencipta konsep mereka sendiri. Punca Khawarij juga menentang Umayyah adalah kerana sistem perlantikan khalifah yang berdasarkan sistem warisan. Pemberontakan mereka telah bermula sejak zaman Khalifah Mu’awiyah dan pemberontakan yang paling memberi impak yang besar adalah semasa pemerintahan Khalifah Marwan II di Kufah. Seterusnya, satu parti baru diperkenalkan selepas pemberontakan di Yemen yang dikenali sebagai Ibadiyyah. Mereka percaya pada konsep yang sama dengan Khawarij berkenaan dengan perlantikan Khalifah sebagai ketua negara, tetapi mereka berbeza dalam beberapa ajaran yang lain. Ibadiyyah juga menganggap mereka adalah beransingan daripada Khawarij sedangkan pihak Khawarij menganggap yang sebaliknya. Aktivi dan siri pemberontakan yang dilakukan Khawarij sedikit sebanyak melemahkan institusi Umayyah dalam memerintah kerajaan.


Golongan berpengaruh juga merupakan ancaman yang merupakan punca kepada kejatuhan kerajaan Umayyah. Antara yang menentang kerajaan Umayyah ialah, Abdul Rahman Ibn al-Ash’ath dan Al-Harith Ibn Surayj. Punca penentangan mereka adalah berbeza. Contohnya, Abdullahi Ibn al-Zubair menyatakan penentangannya terhadap perlantikan Yazid dan menolak untuk mengangkat ikrar ke atasYazid. Abdullahi Ibn al-Zubair juga merupakan Gabenor di Hijaz dan berkuasa ke atas Iraq, Mesir dan sebahagian kawasan di Syria. Apabila Abdul Malik menjadi khalifah, beliau menganggap Ibn al-Zubair merupakan satu ancaman yang merbahaya kepada beliau di Iraq dan al-Hijaz. Abdul Malik menangani masalah ini dengan cara berbaik dengan penyokong Abdullahi dan secara tidak langsung melemahkan kekuasaan beliau. Buktinya, Abdul Malik berdamai dengan beberapa suku Mudari yang telah menyokong Ibn al-Zubair dan beliau juga berjaya memenangi sokongan beberapa pemimpin tentera Ibn al-Zubair di Iraq.


Selain itu, penentangan yang dilakukan oleh Abdul Rahman Ibn al-Ash’ath pula adalah disebabkan hubungannya yang tidak baik dengan Gabenor Iraq iaitu al-Hajjaj. Permusuhan ini bermula apabila al-Hajjaj memerintahkan Abdul Rahman yang memegang jawatan sebagai Timbalan Gabenor ke Sijistan bagi memajukan kawasan timur. Tindakan Abdul Rahman dengan menulis kepada al-Hajjaj untuk menghentikan kemajuan untuk menyusun semula wilayah-wilayah yang diduduki dan memberikan askar masa untuk berehat dan menangguhkan kemajuan mereka tahun seterusnya menyebabkan al-Hajjaj marah dan bertambah marah apabila para tentera juga menentang perintah al-Hajjaj. Ibn al-Ash'ath juga mendapat kemenangan berturut-turut berbanding al-Hajjaj kerana ramai orang di Iraq yang menentang al-Hajjaj dan Umayyah, seperti al-mawali dan al-Qurra’. Seterusnya, Khalifah Abdul Malik menyediakan angkatan dan diketuai oleh Maslama. Pimpinan aslama berjaya mengalahkan tentera Ibn al-Ash'ath pada tahun 83 Hijrah dan Al-Hajjaj menulis surat kepada Raja Sijistan untuk menghantar kepadanya Ibn al-Ash'ath. Raja telah merancang untuk menghantar Ibn al-Ash'ath ke Iraq, tetapi Ibn al-Ash'ath mati dan sekaligus menyelesaikan masalah di Umayyah.


 Al-Harith Ibn Surayj pula merupakan orang yang mengkritik dasar Umayyah tentang dasar mereka terhadap penduduk bukan Arab, umat Islam dan bukan Islam. Pemberontakan telah dilakukan oleh beliau di Khurasan, beliau juga mengisytiharkan bahawa beliau adalah adalah al-Maddi (penyelamat) untuk menyelamatkan manusia dari kesakitan dan penderitaan. Namun, pemberontakan Al-Harith berjaya dipatahkan oleh tentera Umayyah dan beliau datang semula bagi melakukan pemberontakan yang seterusnya dan berjaya dengan bantuan orang Turki. Pemberontakan yang dilakukan oleh al-Kirmani juga telah berjaya dan mereka berdua telah membuat perikatan. Perikatan antara al-Harith dan al-Kirmani tidak bertahan untuk masa yang lama dan berlaku perang antara mereka dan al-Harith dibunuh. Kemudian, anak al-Harith meneruskan peperangan ke atas al-Kirmani dan berjaya membunuhnya juga.


Kesimpulannya, kejatuhan kerajaan Umayyah banyak dipengaruhi oleh faktor dalaman dan juga luaran seperti masalah pentadbiran dan parti pembangkang. Masalah pentadbiran yang tidak cekap dan berkesan menyebabkan institusi Umayyah sedikit goyah. Siri penentangan yang dilakukan oleh pihak pembangkang menyebabkan kerajaan Umayyah hampir lumpuh dan terkubur. Hal ini jelas bahawa masalah pentadbiran dan juga penentangan parti pembangkang merupakan punca terbesar yang menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Umayyah.


Comments

  1. jelaskan ciri- ciri mata wang kesulatanan melayu melaka

    ReplyDelete
  2. Pengunaan mata wang telah lama digunakan sejak zaman Melaka hingga kini.Penggunaan mata wang hari ini bertitik tolak dengan Zaman Melayu Melaka.Buktikan

    1.jelaskan jenis mata wang
    2.ciri2 mata wang kesultanan melayu melaka
    3.bandingkan mata wang dahulu dan sekarang

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts