Sebab-sebab Berlakunya Revolusi 1911
Pengenalan
Revolusi China
1911 merupakan saat paling malang bagi Dinasti Manchu. Revolusi ini terjadi
hasil dari inspirasi satu revolusi dari Guangdong yang bernama Sun Yat-sen. Sun
Yat-sen mahu menjadikan negara China sebagai sebuah negara yang mengamalkan
sistem pemerintahan Republik berdasarkan model Eropah. Sun Yat-sen merupakan
salah seorang tokoh yang terpenting dalam gerakan nasionalisme di China. Sun
Yat-sen memperoleh pemikiran dan idea revolusinya daripada Honolulu dan Hong
Kong. Beliau juga telah membina satu kongsi gelap yang dipanggil Tongmenghui
atau dalam bahasa Inggerisnya ialah Revolutionary Alliance. Program ini
bersifat terbuka di mana usahanya dalam menggulingkan pemerintahan Manchu,
pemulihan kemerdekaan China, penubuhan satu bentuk kerajaan Republik dan
pembangunan sebuah ekonomi yang moden. Antara tahun 1906 dan 1911, para
pengikutnya gagal dalam banyak pemberontakan bersenjata terhadap Ching. Beberapa
peristiwa sedih yang berlaku semasa pemerintahan Manchu selama kira-kira
dua setengah abad sehingga terpaksa menyerahkan takhta kerajaan kepada
golongan revolusiner yang berkesudahan dengan wujudnya sebuah republik.
Revolusi ini
terjadi adalah disebabkan:
Kelemahan
Manchu
Semasa Dinasti
Manchu, banyak kelemahan yang terdapat dalam pemerintahannya. Hal ini boleh
dikaitkan dengan peristiwa kerajaan Manchu kalah semasa Perang Candu I dan
Perang Candu II. Rakyat China berpendapat bahawa kerajaan Manchu sudah tidak
dapat untuk melindungi mereka. Kelemahan pentadbiran juga boleh dilihat dari
segi urusan kewangan dan pegawai-pegawai yang menjalankan tugas. Salah satu
punca kewangan ialah dari cukai pertanian. Pegawai-pegawai wilayah diarahkan
untuk menjalankan tugas dan hasilnya diserahkan kepada kerajaan pusat Peking.
Masalah menjadi lebih rumit apabila pegawai yang bertugas tidak melaporkan
cukai dan mengamalkan penyelewengan. Mereka juga mengenakan cukai sebanyak 3-5
kali ganda dari harga yang sebenar ke atas rakyat terutamanya petani.
Pegawai-pegawai kerajaan juga turut mengamalkan kegiatan rasuah kerana
pendapatan mereka yang tidak mencukupi dan penyalahgunaan wang turut berlaku.
Sebagai buktinya, pada tahun 1809, sebuah Mahkamah Daerah telah melenyapka
kira-kira 30,000 tael wang dari hasil kutipan derma dan bantuan dari kerajaan Peking
untuk mangsa kebuluran.
Pengaruh
Gerakan Pembaharuan
Gerakan ini telah
dilakukan oleh reformis-reformis Cina beberapa tahun yang lalu mempunyai
pengaruh yang besar ke atas orang-orang Cina untuk mengadakan
perubahan-perubahan dengan cepat. Idea -idea dari reformis-reformis Cina telah
memberi semangat kepada orang-orang yang merasa tidak puas hati terhadap
pemerintah Manchu supaya mengadakan langkah-langkah yang mengubah negeri China.
Idea-idea mereka tetap menjadi ilham kepada pemimpin-pemimpin China kemudian
hari. Misalnya reformis-reformis Wang Tao (1828-1897) dan Ho Kai (1858-1917)
mempunyai pengaruh yang kuat ke atas jiwa Dr. Sun yang kemudian menjadi pelopor
dalam Revolusi 1911. Pengaruh yang besar datangnya dari Gerakan Pembaharuan
1898. Sungguhpun rancangan pembaharuan itu gagal namun pengaruhnya tetap hidup
subur dengan menggunakan negeri Jepun sebagai pusat kegiatannya. Sungguhpun
kedua-dua perjuangan antara Kang Yu Wei dan Dr. Sun berbeza dari konsep
pemerintahan antara monarki dan republik, namun kedua-dua tokoh ini tetap
mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk membentuk negeri China yang moden dan
berdaulat.
Peranan
Golongan Pelajar
Apabila
Pemberontakan Boxer gagal, timbul kesedaran dalam pemerintah Manchu untuk
mengadakan pembaharuan-pembaharuan dalam negeri itu. Oleh itu, ramai
penuntut-penuntut Cina dihantar keluar negeri bagi melanjutkan pelajaran
mereka sehingga ke Amerika Syarikat, Eropah, dan Jepun. Ketika menuntut
di luar negeri terutama di barat, mereka mendapat pengetahuan mengenai revolusi
dan kemajuan-kemajuan yang dicapai oleh negara-negara barat terutama England
dan Perancis. Gerakan Penyatuan Itali telah menjadi inspirasi kepada mereka
dalam Gerakan Revolusi ini. Bagi mereka, idea tersebut sesuai dijalankan di
negeri China yang masih belum bersatu. Pendek kata dari negara-negara barat,
pelajar-pelajar Cina mengetahui apa yang dikatakan demokrasi, kebebasan, hak
asasi manusia persamaan taraf dan kemerdekaan.
Kewangan
– Ekonomi
Menjelang
pertengahan abad ke-19, keadaan ekonomi negara China mengalami kemerosotan.
Selain bencana alam yang menjejaskan pencapaian hasil pertanian, ianya juga
berpunca daripada kesan-kesan peperangan. Di samping telah mengeluarkan
perbelanjaan yang besar untuk membiayai peperangan, China juga terpaksa
membayar ganti rugi sebagai hukuman kerana kalah dalam peperangan. Negara China
terpaksa membayar sebanyak 200 juta tael kepada Jepun 1895 ekoran perang
China-Jepun dan 30 juta tael tambahan kepada Jepun sebagai tambahan kepada
Jepun bila menarik diri dari Semenanjung Liao-tung. Kerajaan China juga
terpaksa menyelesaikan hutang-piutang kepada barat. Tindakan kerajaan China
meminjam wang dari luar negeri juga telah menimbulkan kesan-kesan yang negatif
menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban cukai yang tinggi. Pihak kuasa
asing pula berminat untuk menghulurkan bantuan akan tetapi kerajaan Manchu agak
keberatan untuk mendapatkan pinjaman kerana sedar bahawa ia akan terikat untuk
memberi hak kepada kuasa-kuasa ini. Sebaliknya, kerajaan Mancu mengenakan cukai
yang tinggi untuk menampung bebanan kewangan yang dialaminya. Kenaikan cukai
ini terpaksa ditanggung dengan beratnya oleh golongan petani dan ini telah
menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan mereka sehingga menganggap bahawa
tindakan kerajaan ini menjadi alasan untuk mereka bertindak.
Pertambahan
penduduk
Masalah terbesar
yang dihadapi oleh pemerintah Manchu ialah pertambahan penduduk yang begitu
pesat. China juga seperti India yang menghadapi masalah-masalah yang
ditimbulkan oleh bilangan penduduk yang meningkat dengan begitu pesat
disebabkan rakyat China percaya bahawa mempunyai anak banyak adalah baik dan
beruntung. Akan tetapi kawasan untuk mengeluarkan makanan tidak dapat menampung
bilangan penduduk yang semakin bertambah. Sungguhpun perpindahan orang-orang
Cina digalakkan dari wilayah-wilayah yang ramai penduduk ke wilayah-wilayah
yang kurang penduduk dengan tujuan untuk mengurangkan tekanan-tekanan hidup.
Walaupun begitu, cara ini didapati tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut.
Kegagalan ini berpunca daripada kesukaran dan kekurangan alat perhubungan dalam
negeri. Pada 1885, penduduk China terdiri daripada 377 juta orang tetapi
meningkat kepada 430 juta orang pada 1911. Disebabkan pengeluaran pertanian
berkurangan akibat bencana alam seperti banjir dan kemarau, ini telah
menyebabkan kesengsaraan hidup orang-orang Cina. Kebuluran sering terjadi
seperti pada tahun 1910-1911. Berjuta-juta penduduk China yang kehilangan
rumahtangga dan tanam-tanaman di dua wilayah yang dahulu iaitu Anhui dan
Kiangsu sekaligus menyebabkan kebuluran dan wabak penyakit.
Kesimpulan
Hakikatnya,
Revolusi 1911 ini merupakan penentangan yang terjadi akibat daripada rasa
ketidakpuasan hati rakyat terhadap terhadap sistem pemerintahan beraja yang
dianggap mengongkong pembaharuan dan pembangunan yang meliputi aspek ekonomi,
politik dan sosial. Revolusi ini telah berjaya menumpaskan atau menamatkan
sistem pemerintahan beraja sekaligus menamatkan pemerintahan Dinasti Manchu
yang telah memerintah selama 267 tahun (1644- 1911).
Comments
Post a Comment