Peranan Maharaja Jepun Dalam Menghadapi Kuasa Barat Pada Abad Ke-19



Pengenalan

Jepun merupakan sebuah negara yang terletak di kawasan Asia Timur. Pada abad ke-19, Jepun telah diperintah oleh dua kepimpinan iaitu pemerintahan Shogun Tokugawa dan Meiji. Seperti yang diketahui, pada awal zaman pemerintahan Shogun Tokugawa, dasar tutup pintu atau dasar isolasi telah diamalkan oleh Jepun. Dasar tutup pintu yang dilakukan oleh Jepun adalah cara pemerintah Jepun dalam menghadapi barat dan mengelakkan campur tangan serta kemasukkan pengaruh-pengaruh luar, serta menghalang kemasukkan pedagang-pedagang luar ke negara mereka. Namun, kedatangan barat ke tanah matahari terbit telah merubah segalanya dengan perjanjian Kanagawa yang mengikat negara Jepun dengan barat bagi kepentingan barat. Selepas runtuhnya kepimpinan Shogun Tokugawa, Pemerintahan yang seterusnya iaitu Meiji merupakan pemerintahan yang bertujuan dalam mengembalikan maharaja kepada kedudukannya yang sebenar sebagai ketua masyarakat Jepun yang tertinggi namun didominasi oleh samurai muda dari suku kaum Satsuna dan Choshu atau Oligarki Satsuma-Cho yang bertugas sebagai penasihat Meiji. Pemimpin-pemimpin baru Meiji menyedari bahawa Jepun tidak akan dapat menandingi kuasa-kuasa imperialisme Barat. Mereka menyedari bahawa satu-satunya cara untuk mengatasi ancaman ini ialah dengan mewujudkan sebuah negara moden yang mempunyai kuasa tentera yang kuat dan tujuan utama kerajaan baru tersebut ialah “Fukoku Kyohei” yang bermaksud sebuah negara yang kaya dan tentera yang kuat. Pemimpin-pemimpin Meiji dengan teliti telah menggubal suatu dasar modenisasi yang tertumpu terutamanya ke atas penyerapan teknologi, pengetahuan, institusi barat secara besar-besaran. Jepun telah menjadikan tamadun Barat sebagai asas bagi modenisasikan Jepun yang merangkumi pembentukan semula secara besar-besaran dalam aspek institusi-institusi politik, ekonomi dan sosial dalam membina Jepun sebagai sebuah negara yang kukuh.



Latar Belakang

Jepun merupakan sebuah negara yang terletak di kawasan Asia Timur. Jepun atau Nihon (Nippon) yang dikenali sebagai Tanah Matahari Terbit. Jepun juga merupakan sebuah negara yang dikelilingi pulau-pulau. Hal ini bertepatan mengatakan bahawa Jepun memiliki lebih dari 3,000 pulau yang terletak di pesisir Lautan Pasifik di timur benua Asia. Kepulauan Jepun yang besar terdiri daripada Honshu, Kyushu, Shikoku, Hokkaido serta Kepulauan Ryukyu yang berada di selatan Kyushu. Sekitar 70% hingga 80% dari wilayah Jepun terdiri dari kawasan pergunungan yang berhutan-hutan. Bagi penduduk asal Jepun:


“The origins of the Japanese people are not known for certain, but most students of their history believe that they are mixed ancestry which includes a strong strain of immigrants from northern parts of the Asia mainland and a perhaps less dominant strain from coastal regions of southeast Asia or less probably, from Indonesia or Polynesia”.


Mengikut teori-teori yang diketahui umum, orang Jepun yang mula-mula menduduki kepulauaan Jepun adalah dari Selatan melalui Pulau Farmosa dan Ryukyu, tetapi bukti-bukti dari segi kaji purba menunjukkan dengan jelas bahawa kebanyakan daripada orang Jepun yang mula-mula sampai ke Jepun adalah melalui Korea. Jepun telah melalui beberapa era pemerintahan yang dimulai dengan era Yayoi dan diikuti oleh Kofun, Asuka (552-710 masihi), Nara (710-794 masihi), Hein (794-1185 masihi), Kamakura (1185-1333 masihi), Muramochi (1568-1600 masihi), diikuti Shogun Tokugawa (1603-1867 masihi) dan pemerintahan terakhir iaitu Meiji (1868-1912 masihi). Berfokuskan pada pebincangan yang meliputi abad ke-19, pemerintahan yang terlibat dalam perbincangan ini menfokuskan kepada pemerintahan Shogun Tokugawa dan Meiji.



Shogun Tokugawa ( 1603- 1867 Masihi)

Keshogunan Tokugawa atau Keshogunan Edo (Edo Bakufu ) 1603- 1867 merupakan pemerintahan diktator militer feudalisme di Jepun yang dirikan oleh Tokugawa Ieyasu dan secara turun temurun dipimpin oleh keluarga Shogun Tokugawa. Shogun Tokugawa telah memerintah Jepun selama 264 tahun dan mempunyai seramai 15 pemerintah. Pemerintahan dimulai oleh Ieyasu (1603-1616 masihi), diikuti oleh Hidetada (1616-1623 masihi), Iemitsu (1623-1651 masihi), Ietsuna (1651-1680 masihi), Tsunayoshi (1680-1709 masihi), Ienobo (1709-1713 masihi), Ietsugu (1713-1716 masihi), Yoshimune (1716-1754 masihi), Ieshige (1754-1760 masihi), Ieharu (1760-1786 masihi), Ienari (1786-1837 masihi), Ieyoshi (1837-1853 masihi), Iesada (1853-1858 masihi), Iemochi ( 1858-1866 masihi) dan pemerintah Shogun Tokugawa adalah Hitsubashi Keiki (1866-1867 masihi).  Keshogunan Tokugawa memerintah dari Istana Edo hingga Restorasi Meiji bermula pada tanggal 24 Mac 1603 dengan pengangkatan Tokugawa Ieyasu sebagai Sei-I Taishōgun dan berakhir ketika Tokugawa Yoshinobu pada 9 November 1867.



Dasar Tutup Pintu (Shogun Tokugawa)

Seperti mana yang kita ketahui, pada awal zaman pemerintahan Shogun Tokugawa, dasar tutup pintu atau dasar isolasi yang bermaksud pemencilan telah diamalkan oleh Jepun. Dasar pintu tertutup merupakan satu dasar pemerintahan atau isolasi yang dilakukan bagi mengelakkan campur tangan serta kemasukkan pengaruh-pengaruh luar malah dalam banyak keadaan menghalang kemasukkan  pedagang-pedagang luar ke negara mereka. Hal ini merujuk kepada negara Jepun yang tidak mahu mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara luar. Pada zaman pemerintahan Shogun Tokugawa, Jepun melaksanakan dasar pemencilan daripada dunia luar dan dilaksanakan selama 200 tahun. Pada hal yang sebenarnya, Jepun pada abad ke 17 telah  memajukan perdagangan asing, yang mana saudagar-saudagar Jepun sangat digalakkan mengadakan hubungan perdagangan dengan China dan negara-negara lain.  Sehinggalah pada tahun 1603, Jepun telah mengambil keputusan secara mendadak dengan menutup perdagangan ini daripada dunia luar.


Salah satu sebab mengapa Jepun tidak mahu bekerjasama dengan negara luar adalah kerana pemerintah Jepun  melihat pergelutan antara saudara yang melibatkan orang - orang asing tersebut  yang mana orang-orang Belanda dan Inggeris melawan orang- orang Sepanyol dan menimbulkan perkelahian antara satu sama lain di perairan Jepun.  Hal ini menimbulkan kebimbangan di kalangan para pemerintah Jepun kerana mereka cuba untuk mendatangkan kekacauan di Perairan Jepun yang boleh mengundang kepada peperangan. Berikutan perkara tersebut, orang-orang Jepun dilarang keluar daripada Jepun dan hanya pembinaan kapal-kapal kecil sahaja yang dibenarkan untuk menjalankan aktiviti perdagangan di perairan Jepun.



Kedatangan Barat Ke Tanah Matahari Terbit

Kedatangan Komoder Perry yang mewakili Amerika Syarikat telah datang ke Jepun pada 8 Julai dengan tujuan ingin mengadakan hubungan diplomatik bagi kepentingan hubungan perdagangan dengan Jepun. Keinginan ini adalah disebabkan faktor perkembangan pesat dalam perusahaan menangkap ikan paus di lautan, perusahaan melombong emas di California, perkembangan perdagangan Amerika Syarikat dengan China dan kemajuan  dalam bidang pelayaran. Kapal-kapal nelayan asing sering memasuki kawasan perairan Jepun dan anak-anak kapal sering mendapatkan perlindungan di pantai Jepun. Selain itu, kapal-kapal dagang Amerika Syarikat juga menggunakan lautan Pasifik dalam perdagangan dengan China. Hal ini menyebabkan memerlukan pelabuhan persinggahan untuk mendapatkan bekalan arang batu.  Atas sebab berikut Amerika Syarikat telah menghantar wakilnya iaitu Komoder Perry yang merupakan angkatan tentera laut untuk membincangkan mengenai hubungan diplomatik.



Ketegasan Pihak Barat

Sejak awal tahun 1844 lagi, Raja Belanda telah menasihatkan Bakufu supaya menghentikan dasar pemencilannya. Namun, Bakufu tidak berbuat demikian dan tetap dengan pendiriannya. Hal ini bertepatan dengan slogan Shogun Tokugawa iaitu “revere the Emperor, expel the barbarians!” atau dalam bahasa Jepunnya sonnojoi.  Pada 18 Julai, kemunculan Komodor Mathew Perry bersama dengan kapal perang beliau telah menimbulkan perasaan bimbang dan gelisah dalam kalangan pemerintah-pemerintah Jepun dan para cendiakiawan yang takut akan Imperialisme Barat.


Komodor Mathew Perry menjelaskan kepada Bakufu bahawa beliau mengharapkan maklumbalas apabila kembali semula pada tahun berikutnya dengan angkatan yang besar. Ancaman terhasil apabila Komodor Perry kembali ke Jepun dalam bulan Februari 1854. Angkatan tentera Komoder Perry yang mengandungi empat buah kapal perang memasuki Telok Yedo dan mendarat di Teluk Uraga dan pada 13 februari 1854 disusuli dengan angkatan perang yang lebih besar. Komoder Perry membawa surat daripada Presiden Fillmore bagi mendesak Jepun supaya mengadakan hubungan dengan Amerika Syarikat. Jepun risau jika permintaan Komoder Perry tidak dipenuhi, nasib Jepun akan sama seperti China. Justeru, kekuatan Amerika Syarikat dari segi ketenteraan memaksa Shogun Tokugawa mengadakan hubungan dengan mereka. Akibat keadaan yang mendesak, Shogun Tokugawa menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat pada 31 Mac 1854 tanpa menghadapi kesulitan dan pertumpahan darah. 



Dasar Buka Pintu (Shogun Tokugawa)

Dasar buka pintu Jepun merupakan satu dasar di mana Jepun perlu menerima kuasa luar untuk memasuki Jepun terutamanya dalam pasaran perdagangan Jepun. Hal ini kerana sebelum ini jepun tidak membenarkan mana-mana kuasa asing memasuki kawasannya kerana Jepun mengamalkan ekonomi sara diri dengan menumpukan dalam bidang pertanian sebagai sumber kehidupan. Seterusnya, perjanjian Kanagawa telah menjadi asas penting dalam membuka peluang kepada kuasa-kuasa Barat yang lain untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Jepun. Tindakan yang diambil oleh Keshogunan Tokugawa ini telah menyebabkan Jepun terpaksa menerima kemasukan pengaruh Barat sama ada dalam sistem ekonomi mahupun pentadbiran.


Perjanjian Kanagawa diambil sempena nama sebuah kampung yang terletak di Yokohama. Perjanjian Kanagawa 1854 yang dimeterai antara Jepun dan Amerika Syarikat menandakan bermulanya dasar buka pintu Jepun dengan kuasa luar dan perjanjian ini menjadi asas kepada pembukaan perjanjian yang lain. Antara syarat Perjanjian Kanagawa ialah dua buah pelabuhan akan dibuka, iaitu Shimoda dan Hokadate. Amerika Syarikat juga dibenarkan melantik seorang konsul di Shimoda.  Jepun juga menjamin keselamatan anak kapal Amerika Syarikat yang terlantar di perairan Jepun dan Amerika Syarikat dan diberi layanan baik “ mostfavered nation”.


Jepun telah menamatkan dasar tutup pintu dan merupakan permulaan kepada dasar buka pintu kepada Barat. Selepas perjanjian ini pada tahun 1854, Laksamana Sir James Stirling yang mewakili British telah menandatangani Perjanjian Nagasaki. Melalui perjanjian ini British telah mendapat kemudahan perdagangan di Hakodate dan Shimoda.  Pada tahun 1855 pula, Russia melalui Laksamana Putyyatin telah menandatangani Perjanjian Shimoda dengan Jepun. Antara isi perjanjiannya, pulau-pulau Kuril termasuk Etorufu diserahkan kepada Russia, pelabuhan Nagasaki, Shimoda dan Hokadate dibuka kepada Russia serta Pulau Sakhalin tetap menjadi milik bersama antara Russia dengan Jepun. Pada tahun 1856, Belanda telah menandatangi perjanjian dengan Jepun di Nagasaki.Belanda juga diberi kebenaran berdagang di pelabuhan-pelabuhan Jepun.


Pada tahun 1858, Amerika Syarikat telah berjaya mengadakan perjanjian Jepun.Townsend Harris telah menjadi wakil kerajaan Amerika Syarikat telah menandatangani Perjanjian Edo. Melalui perjanjian ini lima buah lagi pelabuhan Jepun dibuka kepada Amerika Syarikat iaitu Hyogo, Hakodate, Kanagawa, Nagasaki dan Nugata. Hak asasi bagi kes-kes civil dan jenayah hendaklah diberikan kepada semua orang Amerika.Cukai-cukai kastam hendaklah ditetapkan mengikut persetujuan bersama.


Melalui perjanjian tersebut, Jepun menceburi bidang ekonomi komersial. Hal ini demikian kerana berlakunya perdagangan dengan negara-negara barat akibat pembukaan pelabuhan-pelabuhan Jepun. Kemajuan dalam bidang ekonomi menyebabkan lahirnya syarikat-syarikat besar dari golongan zaibatsu yang memajukan ekonomi Jepun.



Shogun Tokugawa di Ambang Kejatuhan

Kesan daripada Perjanjian Kanagawa, muncul gerakan pemberontakan bagi menggulingkan Tokugawa yang diketuai oleh kaum-kaum seperti Satsuma, Chosu, Toza dan Hizen. Mereka menentang Shogun kerana ingin merebut jawatan Shogun selain mengembalikan kekuasaan Meiji. Bagi membolehkan mereka berkuasa,  mereka telah menyokong maharaja yang selama ini telah ditindas oleh pihak Shogun. Mereka turut bersatu dengan golongan bangsawan Kyoto serta golongan saudagar yang anti-Tokugawa terutama di Bandar Osaka. Mereka juga telah menggunakan alasan penerimaan Shogun Tokugawa terhadap orang asing seperti Amerika, Belanda dan Perancis untuk mendapatkan sokongan maharaja dan rakyat Jepun.


Antara peristiwa penting yang dilakukan ialah pembunuhan terhadap seorang Inggeris oleh puak Satsuma.  Hal ini menambahkan lagi keretakan hubungan antara Shogun Tokugawa dengan pihak Inggeris sekali gus menyebabkan kejatuhan pemerintah ini.  Pada tahun 1862, sekumpulan kecil orang British berkuda telah melanggar adat tertib Jepun dengan menyeberangi jalan raya berdekatan Yokohama melintasi angkatan Shimudzu Idzumi, Daimyo dari Satsuma dan pengiring-pengiringnya semasa mereka melalui jalan yang sama dalam perjalanan pulang dari Edo. Ini telah mengundang kemarahan puak-puak tersebut kerana sudah menjadi kebiasaan dan adat Jepun bahawa mereka akan memberi keutamaan perjalanan kepada Daimyo terlebih dahulu.  Oleh itu, pegawai peribadi Daimyo telah diarahkan untuk membunuh salah seorang pelawat tersebut iaitu C.L.Richardson manakala dua lagi pelawat tersebut cedera parah. Peristiwa tersebut membangkitkan lagi kemarahan pihak British.  Pihak British kemudiannya mengemukakan tiga tuntutan ganti rugi.  Mereka menuntut supaya samurai yang melakukan pembunuhan tersebut ditangkap dan diserahkan kepada pihak British, tuntutan ganti rugi sebanyak $100,000 daripada kerajaan Jepun dan tuntutan sebanyak $25,000 daripada puak Satsuma. 


Dalam masa yang sama, keadaan makin bertambah buruk apabila puak Choshu pula mencetuskan kekacauan di Kyoto dan terus-terusan mendesak supaya semua perjanjian yang telah dibuat dengan pihak barat pada ketika itu hendaklah dimansuhkan.  Pada 26 Jun 1863, daimyo dari Choshu telah memulakan gerakan dengan menyerang kapal-kapal Amerika, Perancis dan Belanda di Selat Shimonoseki dengan tujuan untuk menutup Laut Pendalaman kepada kapal-kapal Barat.   Amerika telah bertindak menyerang balas pada 16 Julai apabila  kapal-kapal Wyoming (Amerika) memusnahkan kedua-dua buah kapal Choshu sementara orang Perancis pula telah memusnahkan sebuah perkampungan kecil dan beberapa meriam pertahanan pantai puak Choshu. apabila tuntutan mereka tidak dilayan oleh puak Satsuma,  British mengambil keputusan untuk menyerang Kagoshima (ibu kota kaum Satsuma) dalam bulan Ogos 1863, yang telah memberi kesan kerosakan dan kerugian yang besar ke atas bandar tersebut. Oleh itu, puak Satsuma terpaksa bersetuju untuk menjelaskan tuntutan ganti rugi British.  Manakala bagi puak Chosu pula, British telah bertindak berlayar ke Yokohama pada bulan Ogos 1864 menuju ke Choshu.  Tujuannya adalah untuk meruntuhkan pertahanan kaum Chosu.  Kaum Choshu ternyata tidak mampu untuk menghadapi angkatan laut berikat British.


Dalam tahun 1867, kedudukan Tokugawa benar-benar tergugat apabila Daimyo Toza telah mengirim surat dan disokong oleh suku kaum lain yang mendesak supaya Shogun Tokugawa meletakkan jawatan dan mencadangkan supaya maharaja melantik Shogun yang baru.  Kejatuhan Keshogunan Tokugawa juga disokong oleh Barat apabila negara Barat akhirnya sedar bahawa segala kekuasaan terletak di tangan Maharaja Jepun sendiri.  Oleh itu, pada tahun 1866, Sir Harry Parkes (Menteri Inggeris) sedia berunding dengan Maharaja. Pihak Barat akan bersetuju menarik balik hukuman yang dikenakan kepada kaum Choshu sekiranya Maharaja bersetuju untuk mengadakan perjanjian.  Melihat kepada keadaan politik yang tidak stabil pada masa itu, Shogun Hitosubashi Keiki yang baru dilantik menggantikan Shogun Iemochi telah bersetuju untuk meletakkan jawatan sekali gus menyerahkan segala urusan pentadbiran kepada Maharaja Mutshushito yang turut dikenali sebagai Maharaja Meiji.[14]  Penyerahan kuasa ini berlaku pada 19 November 1867 menjadi titik tanda kepada kebangkitan Maharaja Meiji.



Pemerintahan Meiji

Pemerintahan Meiji yang berlangsung selama 44 tahun bermula dari 1868 hingga 1912 merupakan satu era yang penting dalam sejarah Jepun. Ia juga dikenali sebagai era pemulihan Meiji di mana bermulanya pemodenan baru yang dilakukan setelah Jepun mengamalkan dasar tutup pintu selama hampir 200 tahun semasa pemerintahan Shogun Tokugawa.  Pemerintahan Meiji bertujuan untuk mengembalikan maharaja kepada kedudukannya yang sebenar sebagai ketua masyarakat Jepun yang tertinggi. Walaubagaimanapun, kepimpinan kerajaan baru telah didominasi oleh samurai muda dari suku kaum Satsuna dan Choshu atau Oligarki Satsuma-Cho yang bertugas sebagai penasihat Meiji.  Pemimpin-pemimpin samurai ini berasal dari kawasan-kawasan penguasaan feudal atau Han suku kaum Satsuma, Choshu, Tosa dan Hizen. Diantara mereka termasuk Okubo, Saigo, Matsukata Masayoshi dan Kuroda (dari Satsuma), Kido, Ito, Inone, Yamagata Aritomo dan Katsura (dari Choshu); Okuma (dari Hizen) dan Itagaki Taisuke (dari Toza). Pemimpin-pemimpin baru Meiji juga termasuk Saionji Kimmochi, seorang bangsawan dari Kyoto.



Pembaharuan Meiji

Pemimpin-pemimpin baru Meiji menyedari bahawa Jepun tidak dapat menandingi kuasa-kuasa imperialisme Barat. Oleh yang demikian, mereka menyedari satu-satunya cara untuk mengatasi ancaman ini ialah dengan mewujudkan sebuah negara moden yang mempunyai kuasa tentera yang kuat. Oleh itu, tujuan utama, kerajaan baru ialah “Fukoku Kyohei”(sebuah negara yang kaya dan tentera yang kuat).


Bagi mencapai hasrat tersebut, pemimpin-pemimpin Meiji dengan teliti telah menggubal suatu dasar modenisasi yang tertumpu terutamanya keatas penyerapan teknologi, pengetahuan, institusi barat secara besar-besaran. Sehubungan dengan perkara ini, asas intelektual bagi pengaliran dan penyerapan pengetahuan Barat telah disumbangkan oleh Fukuzawa Yukichi iaitu salah seorang intelek moden teragung dalam sejarah Jepun. Fukuzawa Yukichi yang telah melawat Eropah dan Amerika Syarikat telah menyebarkan tamadun Barat sebagai asas bagi modenisasi dan mewujudkan Jepun sebagai sebuah negara yang kukuh. Proses modenisasi ini merangkumi pembentukan semula secara besar-besaran dalam aspek institusi-institusi politik, ekonomi dan sosial berdasarkan garis panduan dari Barat. Perubahan-perubahan yang luas dan drastik ini menyebabkan berlaku satu revolusi dalam masyarakat dan kerajaan Jepun.



Penghapusan Sistem Feudal

Perubahan mendadak yang boleh dilihat melalui pembubaran atau lebih tepat dipanggil penghapusan terhadap sistem feudal. Feudalisme boleh didefinisikan sebagai pentadbiran kerajaan tempatan bukannya berpusat. Oligarki Meiji khususnya Kido, Okubo, Okurua dan Itagaki Taisuke telah menyedari tentang kepentingan pemusatan kerajaan.  Pada 3 Mac 1869, satu memorandum bersama yang meletakan tanah-tanah mereka di bawah penguasaan Maharaja telah diserahkan. Pada Julai 1869, daimyo-daimyo lain diperintahkan oleh kerajaan Meiji supaya menyerahkan kuasa tanah mereka kepada kerajaanOligarki Meiji khususnya Kido, Okubo,Itagaki dan Okuma telah berjaya mempengaruhi golongan daimo dari suku kaum Choshu, Satsuma, Tosa dan Hizen supaya menyerahkan tanah mereka secara sukarela pada maharaja.  Pada mulanya, tanah-tanah yang telah diserahkan oleh semua daimo tidak berada dalam kawalan terus maharaja. Sebaliknya, pembesar-pembesar feudal telah dilantik sebagai Gabenor di dalam kawasan-kawasan penguasaan mereka sendiri. Namun, pada 29hb Ogos 1871, maharaja telah mengumumkan penghapusan semua tanah feudal. Semua tanah menjadi hak milik diraja.  Dengan penghapusan tanah-tanah feudal ini, nagara Jepun telah dibahagikan kepada 45daerah-daerah (Ken) yang diketuai oleh pagawai kerajaan pusat.


Menjelang akhir tahun 1870 ken sabagai tambahan kepada bandar-bandar, tokyo, Kyoto dan Osaka. Dalam tahun 1872, bilangan ken telah dikurangkan kepada 72 dan menjelang tahun 1890 hanya terdapat 45 ken sahaja. Dengan ini maka berakhirlah daimyo-daimyo sebagai pembesar feudal. Mereka ini kemudiannya diberi pembayaran dalam bentuk bon-bon kerajaan atau bayaran beras sebanyak 100 koku atas persaraan mereka.   Seluruh pegawai Golongan samurai yang tidak mendapat jawatan dalam jabatan-jabatan kerajaan telah mengalihkan tumpuan mereka terhadap perniagaan di mana wang persaraaan yang diterima itu telah dijadikan modal untuk mereka berniaga.


Penghapusan feudalisme memperkukuhkan kedudukan Kerajaan Meiji Baru. Ia membolehkan Kerajaan mempunyai bidang kuasa yang sepenuhnya keatas seluruh penduduk dan negara, selain dari meletakkan hasil-hasil pendapatan bekas Han dibawah penguasaan Kerajaan Pusat. Ini memberi jalan kearah mewujudkan sebuah negara moden. Pemimpin-pemimpin Meiji juga telah menghapuskn sistem kelas yang terdiri dari golongan samurai, petani, petukang dan saudagar dalam tahun 1871.



Pengukuhan Sistem Ketenteraan

Jepun memberi  perhatian yang serius terhadap pemodenan angkatan ketenteraan. Mereka sedar tentang keunggulan kuasa-kuasa barat terutamanya dari segi organisasi tentera dan senjata. Oleh sebab itu, bagi menandingi kuasa barat, negara Jepun harus mempunyai senjata dan tentera yang moden. Maharaja Meiji telah meminta bantuan daripada pihak British.Modenisasi angkatan tentera bermula dalam tahun 1870an.   Yamagata Aritomo dari Choshu pada tahun 1872, telah mengemukakan suatu usul yang menyokong kuat tindakan kerajaan Meiji melakukan polisi kerahan tentera dan polisi memodenkan angkatan tentera darat dan laut Jepun. Hal ini kerana Yamagata dan rakan-rakan sejawat beliau telah memperdebatkan bahawa angkatan tentera yang wujud sebanyak 20 batalion yang telah ditugaskan bagi menjaga keamanan dalam negeri tidak berkeupayaan membalas sebarang tindakan luar yang mengancam kedaulatan Jepun. Oleh yang demikian, mereka mendesak kerajaan Meiji supaya melaksanakan suatu kerahan tenaga moden mengikut cara Barat. Pada bulan Disember 1872, Jepun telah mengadakan undang-undang kerahan tentera kepada pemuda-pemuda yang berusia 20 tahun yang terdiri dari Helmin atau rakyat biasa. Mereka akan  berkhidmat selama 12 tahun yang boleh di pecahkan kepada 3 tahun tetap dan 9 tahun sebagai simpanan.

Cara berperang juga di ajar oleh pegawai tentera asing. Tentera Kebangsaan Jepun telah dibentuk pada tahun 1873 di mana anggotanya diambil dari segenap lapisan masyarakat. Pada tahun 1878, Yamagata Aritomo telah menyusun semula pentadbiran angkatan tentera berpandukan Jerman. Pada tahun yang sama, semangat ketenteraan telah ditiup didalam sanubari rakyatnya bertujuan menanam semangat patriotisme, taat setia dan mengikut perintah.  Mereka juga telah mengesyorkan penubuhan akademi-akademi tentera untuk melatih pegawai dan askar dan penubuhan sebuah biro bekalan tentera untuk membekalkan mereka senjata-senjata ketenteraan. Angkatan Tentera Laut Jepun juga telah mengalami perkembangan dan modenisasi yang pesat. Kementerian Angkatan Laut telah ditubuhkan pada 1872. Menjelang tahun 1873, Jepun mempunyai 17 buah kapal perang yang setanding dengan kapal perang Amerika Syarikat. Pada tahun 1876, kapal laut besar telah di beli dari Britain dan ini dapat menguatkan lagi kekuasaan Tentera Laut Jepun. Sementara itu, pegawai tentera laut dari British di ambil sebagai jurulatih Tentera Laut.


Kemudian dalam tempoh setahun sahaja iaitu pada tahun 1875, 2 buah kapal api telah dibina. Menjelang tahun 1874 pula, kerajaan Meiji mempunyai 28 buah kapal moden dengan jumlah isipadu 57000 tan serta 24 buah anak-anak kapal perang dan torpedo. Proses modenisasi angkatan tentera telah menelan perbelanjaan yang besar dan membebankan. Hampir 1/3 belanjawan negara adalah untuk perbelanjaan ketenteraan. Dari sini, dapat kita lihat betapa kerajaan Meiji mementingkan kewujudan suatu angkatan tentera yang moden dan berkuasa.



Kepentingan dan Kesedaran Pendidikan

Pendidikan memainkan peranan penting untuk mencapai matlamat Maharaja Meiji. Ianya di anggap sebagai alat tranfsormasi untuk merealisasikan impian Maharaja Meiji. Sehubungan dengan itu, konsep pendidikan moden telah di beri pendedahan kepada pelajar-pelajar di sekolah. Kementerian Pelajaran telah ditubuhkan pada awal 1871 dan langkah-langkah telah diambil untuk mewujudkan sistem pendidikan yang seragam di negara tersebut. Pada  tahun 1872, satu undang-undang telah diadakan di mana semua kanak-kanak yang berusia 6 tahun diwajipkan menerima pendidikan selama 4 tahun.  Menjelang tahun 1880, terdapat hampir 28 000 buah sekolah rendah dengan lebih daripada 2 juta pelajar. Pada tahun 1886 pula, Mori Arinori iaitu Menteri Pelajaran telah mengubal sistem pelajaran yang ada di mana sekolah rendah adalah selama 8 tahun sementara sekolah menengah pula selama 4 tahun.  Sekolah-sekolah tinggi terutama sekolah-sekolah teknikal peringkat tinggi telah ditubuhkan meliputi bidang-bidang seperti perubatan, sains, ketenteraan, pelayaran, pertanian, perdagangan, perikanan dan lain-lain.


Maharaja Meiji mengalakkan sistem pelajaran moden. Namun, mereka tidak secara bulat-bulat menerima sistem pendidikan barat. Matlamat dalam pendidikan adalah untuk melahirkan masyarakat yang cintakan negara, menghargai nilai-nilai tradisi dan patuh kepada ketua. Oleh itu, penduduk Jepun berjaya menerapkan kepentingan pendidikan kepada anak-anak sekaligus mempercepatkan proses kemajuan negaranya. Kita dapat lihat dalam sistem pelajaran pada masa itu sangat mementingkan subjek pengajaran sains dan kejuruteraan. Buku-buku yang bermutu dalam bidang-bidang tersebut telah diterjemahkan ke bahasa Jepun. Di samping itu, ramai tenaga pengajar dan golongan profesional dan ahli akademik luar telah diambil dari Britain dan Amerika Syarikat.  Antara Professor yang terkenal ialah E. S. Morse dari Harvard pada 1877 dan Ernest Fenoliosa dari Boston pada 1878. Kerajaan Jepun telah menghantar ramai pelajar ke Eropah untuk mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan. Dalam tahun 1871 sahaja, terdapat kira-kira 54 orang pelajar telah dihantar ke Britain untuk mempelajari aspek ketenteraan laut dan perkapalan perdagangan, ke Jerman pula untuk mempelajari aspek tentera darat dan ilmu perubatan dan tujuan Amerika pula mempelajari perkara-perkara mengenai perdangan danekonomi.


Pusat-pusat pengajian tinggi di dalam negeri telah ditubuhkan ekoran daripada kesedaran bahawa Jepun tidak boleh bergantung hanya kepada pusat pengajian barat. Oleh itu, pada tahun 1877, universiti yang pertama dan terkenal iaitu Universiti Diraja Tokyo telah ditubuhkan.  Universiti ini menyediakan sekolah latihan dalam perkhidmatan awam dalam bahagian urusan pentadbiran, pusat pendidikan dan juga pusat penyelidikan. Universiti ini menekankan pelajar-pelajarnya supaya mematuhi hormat terhadap Maharaja dan negara. Pelajar-pelajarnya di ajar berdasarkan sistem pendidikan barat dan menekankan pendidikan moral yang di sadur dari etika Kung Fu Tze. Menjelang 1910, beberapa buah universiti diraja lain telah ditubuhkan di Sapporo, Sendai, Kyoto dan Fukuoka. Selain sistem pelajaran negera, sekolah-sekolah, maktab-maktab dan unievrsiti-universiti swasta juga telah ditubuhkan. Dua univeristi persendirian yang terkemuka iaitu Universiti Keio telah diasaskan oleh Fukuzawa Yukichi pada tahun 1858 dan Universiti Waseda diasaskan oleh Okoma dalam tahun 1882.



Ekonomi

Sebaik sahaja Jepun memasuki era pemerintahan Meiji, rancangan pemodenan dan proses perindustrian telah pon dimulakan. Rancangan pemodenan dan perindustrian digembeleng melalui tiga bentuk program yang dikenali sebagai Fukoku-kyohei (menjadikan Jepun sebagai sebuah negara yang kaya dan mempunyai angkatan tentera yang kuat), Shokusan-Kogyo (mengembangkan industry dan meningkatkan perniagaan) dan Bumnmei-Kaika (membangunkan sebuah bangsa Jepun yang berkesedaran dan bertamadun).  Perkembangan Jepun dalam ekonomi boleh dilihat melalui pembinaan kapal moden.


Pada tahun 1869, Maharaja Meiji telah menetapkan keputusan bagi membina kapal-kapal moden bagi mengekalkan negara Jepun sebagai sebuah Negara yang berpengaruh dan berkuasa. Pengumunan ini telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri Jepun melalui arahan yang bernombor 968. Pada tahun 1870, pengumuman ini dijalankan sekali lagi untuk meningkatkan pertumbuhan syarikat-syarikat perkapalan Jepun.  Pengistiharan ini jelas menunjukkan bahawa pemerintah Meiji mengutamakan dan menggalakkan perdagangan luarnya. Pedagang-pedagang Barat seperti Amerika Syarikat, British, Perancis, German dan lain-lain berlumba-lumba ingin mendapatkan konsesi perdagangan yang terbuka luas di Jepun. Dasar terbuka ini telah menyebabkan pelabuhan-pelabuhan utama seperti Tokyo, Osaka, Kyoto, Yokohama dan Nigata menjadi tumpuan pertukaran perdagangan antarabangsa. Pemimpin Meiji juga turut membina kapal perang bagi mengawal dan menjamin kedaulatannya daripada sebarang ancaman daripada luar.


Selain itu, negara Jepun juga menunjukkan perubahan dalam peningkatan industri perkilangan. Industri perkilangan telah dipertingkatkan  dengan kilang-kilang besi waja dan besi keluli (industri berat) dan digunakan dalam pembinaan kapal, alat perang dan limbungan kapal tentera laut di Yukusuka.Kilang-kilang besi tersebut telah di bangunkan dengan meminjam modal daripada golongan-golongan kaya feudal Jepun. Jepun menolak penglibatan modal dan pelabur asing serta kemampuan mereka menggembeleng sumber dalam negeri pada awal proses pemodenan negara itu.  Hal ini dapat mengurangkan pergantungan Jepun terhadap negara barat. Kilang-kilang itu juga telah  di bangunkan dengan bertujuan memajukan bidang ketenteraan Jepun dalam usaha penaklukan dan pertahanan. Pengetahuan perlatan perang telah di serap dari barat dengan membawa masuk beberapa pakar dari luar.Kerajaan Jepun juga telah membina dua buah kilang besar untuk membuat meriam dan senapan di Tokyo dan Osaka. Selain itu, tiga buah kilang telah di bina di Tokyodan Gumma untuk membuat peluru. Selain daripada kilang pembuatan senjata, kerajaan Jepun juga telah membina kilang sutera, kapas, benang, simen dan juga kaca. Semua pemilikan perindustrian telah di serahkan kepada beberapa syarikat seperti Mitsui, Mitsubishi, Sumitomo, Yasuda dan lain – lain. Gabungan industri pula telah di kuasai oleh pasukan pemodalan seperti Zaibatsu.


Proses memodenkan ekonomi juga ditumpukan kepada usaha membangunkan sektor pertanian. Hal ini kerana sektor pertanian merupakan pekerjaan paling penting bagi majoriti penduduk Jepun. Sektor pertanian telah menghasilkan 80% daripada jumlah hasil pendapatan dalam negeri melalui sistem percukaian dalam tahun 1870 an dan 1880 an.  Pada hakikatnya sektor pertanian ini bertujuan memikul beban sektor industri Jepun kerana pada 1873, perubahan dalam sistem cukai tanah telah dilaksanakan di mana sebelum itu cukai tanah dipungut dalam bentuk beras dan jumlah yang dikutip oleh tuan-tuan feudal adalah berbeza.

Oleh itu, di bawah sistem baru ini, cara pembayaran cukai dalam bentuk wang tunai dan kadar pencukaiannya adalah berdasarkan nilai tanah.  Purata kaum tani hanya membayar 3% dari nilai tanah mereka sebagai cukai. Selain itu, langkah baru untuk meningkatkan daya pengeluaran petani-petani telah diambil di mana penuntut-penuntut dari bidang pertanian yang melanjutkan pelajaran mereka ke luar negeri telah diambil untuk berkhidmat dengan kerajaan. Jenis-jenis benih baru yang diimport, baja kimia yang intensif telah digunakan. Sistem pengairan dan saluran telah diperbaiki dan banyak kawasan-kawasan pertanian baru telah dibuka di beberapa kawasan seperti Hokkaido. Di samping itu, tanaman dagangan atau komersil seperti teh dan sutera juga digalakkan. Para peneroka baru terutamanya samurai telah diberi banyak insentif untuk menceburi bidang pertanian.



Sistem Kewangan

Semua langkah pemodenan memerlukan suatu sistem kewangan yang kukuh dan licin. Demi memudahkan urusan perdagangan dan perusahaan, kerajaan Meiji telah mengumpul semula berbagai-bagai wang kertas dan wang syiling yang berbeza dan beraneka bentuk yang dikeluarkan oleh KeshogunanTokugawa. Pada tahun 1868, matawang Jepun telah di tukar kepada konsep pengunaan wang kertas. Wang kertas telah di tukarkan daripada Ryo kepada Yen yang ketika itu mempunyai nilai yang sama dengan nilai dolar Amerika Syarikat Sistem mata wang yen yang standard telah dikeluarkan pada 1871.  Pada tahun 1872, kerajaan telah mengarahkan supaya bank-bank ditubuhkan. Dalam tahun tersebut, Bank Mitsui-Ono ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1873, First National Bank yang dianggap sebagai cabaran kepada pihak Mitsui ditubuhkan. Perkembangan bank-bank terus berlaku dalam tahun 1880an.  Pada tahun 1882, Bank Pusat yang ditubuhkan. Ini diikuti oleh Bank Yokohama Specific yang menjadi bank asing utama pada 1887. Pada tahun 1896, kerajaan telah menubuhkan Bank Hypothec sebagai badan pusat bank-bank pertanian dan perindustrian di 47 wilayah di Jepun. Ini telah diikuti oleh penubuhan Bank Perindustrian Jepun dalam tahun 1900 untuk membiayai projek-projek perindustrian secara besar-besaran. Menjelang 1882, terdapat 143 buah bank kerajaan dan separa kerajaan telah ditubuhkan.



PENUTUP


Kedatangan barat dan kemasukan teknologi-teknologi dan pengetahuan tamadun barat dalam pemerintahan Jepun telah menjadikan Jepun sebagai sebuah negara yang kukuh dan kuat bagi mengatasi ancaman daripada negara luar seperti barat. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Pemerintahan Meiji pada abad ke-19 dalam mencapai matlamat sebagai negara yang kuat dan kaya. Hal ini boleh dilihat dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Contohnya, perubahan yang mendadak boleh dilihat melalui penghapusan terhadap sistem feudal, memodenkan angkatan tentera di Jepun, memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan dan dijadikan sebagai alat trasformasi kepada penduduk Jepun, memajukan bidang perindustrian yang berasaskan perkilangan dan sebagainya, membangunkan ekonomi dalam sektor pertanian, bank-bank ditubuhkan bagi kemudahan pengurusan perdagangan dan memberi penelitian dalam sistem kewangan dalam mencapai  sistem kewangan yang kukuh dan licin.

Perubahan yang dilakukan semuanya berpandu garis daripada tamadun barat. Perubahan-perubahan mendadak yang dilakukan oleh negara Jepun telah menjadikan Jepun sebagai sebuah negara yang kuat serta menjadikan Jepun sebagai kuasa imperialisma yang baru. Contohnya Jepun telah mendominasi dalam  peperangan antara Jepun dan Rusia, Jepun dan China, perebutan negara Korea dan penjajahan Jepun di Tanah Melayu menjadi bukti bahawa Jepun sebagai satu kuasa imperialisme yang baru. Secara tuntasnya, kedatangan barat ke negara Jepun telah membawa perubahan yang mendadak kepada negara Jepun pada abad ke-19 apabila tampuk pemerintahan yang utama iaitu Meiji membuat dasar pintu terbuka kepada negara luar. Jelasnya, Jepun telah menjadi salah satu negara yang maju dan kukuh dari segi kestabilan ekonomi, politik dan sosial pada masa kini.




Comments

Popular Posts