Tanzimat



DEFINISI KONSEP


Tanzimat yang disebut sebagai Tanzimat Khairie membawa maksud pembaharuan  ke arah kebaikan (beneficent Legislation) yang diambil daripada kanun tanzim etnik iaitu penyusunan semula. Tanzimat Khairie merupakan istilah khas bagi peraturan baru Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang bererti penggubalan bagi kebajikan. Kata dasar bagi Tanzimat ialah mengatur, menyusun dan memperbaiki (satu gerakan reformasi atau pembaharuan yang telah dijalankan oleh Turki Uthmaniyah pada 1839 hingga 1876). Gerakan Tanzimat merupakan gerakan bagi mendapatkan hak perundangan dan pemodenan bagi masyarakat dan Daulah Uthmaniyyah. Gerakan ini merupakan  usaha yang dilakukan oleh  Gazi Hassan Pasa dan Halil Hamit Pasa  semasa pemerintahan Abdul Hamid 1  pada tahun (1774 –1789). Tanzimat merupakan satu usaha bagi memisahkan Daulah Uthmaniyyah daripada cara hidup yang tradisional dengan  mengubah kesemua aspek kehidupan dengan sesuatu yang lebih moden yang diambil dari Barat. Semasa pemerintahan Sultan Abdul Majid, baginda telah menyusun satu peraturan baru yang lebih dikenali sebagai Tanzimat atau reorganization.  Terdapat dua piagam yang dikenali sebagai Hatt-i Sherif Gulhane dan Hatt-i Humayyun.  Tanzimat pada mulanya hanya bertujuan untuk memeperbaiki pentadbiran telah membawa perubahan dalam bidang intelektual hasil daripada penubuhan sekolah-sekolah, kemajuan teknologi percetakan, penerbitan media, aktivit penterjemahan dan pendedahan terhadap gaya hidup masyarakat Barat.



PIAGAM-PIAGAM TANZIMAT


Hatt-I Syarif Gulhane


Tanzimat bermula dengan pengisytiharan Hatt-I Syarif Gulhane (Piagam Kamar Merah Fasa I) yang dibuat oleh Sultan Abdul Majid (1839 – 1861), putera kepada Mahmud II, pada tahun 1839M. Tindakannya telah mendapat sambutan para negarawan Uthmaniyyah yang berpengaruh dan pernah terdedah kepada pengaruh Barat pada zaman Selim III dan Mahmud II dahulu.  Piagam  Gulhane lebih bersifat sekular. Hal ini kerana ianya menyeru kepada reformasi yang melibatkan kepada perubahan-perubahan terhadap institusi-institusi masyarakat, tanpa membelakangkan hukum syarak sebagai undang-undang bagi negara Uthmaniyyah.  Piagam ini diwujudkan bagi meliputi  segala aspek kehidupan manusia.


Antara kandungan piagam adalah menjanjikan keselamatan nyawa, kehormatan atau maruah  dan harta benda untuk semua rakyat tanpa mengira agama. Piagam juga menjamin pembicaraan secara adil dan  terbuka serta mengutamakan persamaan hak untuk semua kaum tanpa mengira agama yang dianutinya. Dalam piagam ini juga, seseorang yang dituduh akan diadili mengikut syariat Islam dan hukuman tidak akan dijatuhkan kecuali selepas perbicaraan dan pemeriksaan.  Perlanggaran terhadap kehormatan seseorang juga tidak dibolehkan.  Hak milik terhadap harta dijamin dan tiap-tiap orang mempunyai kebebasan terhadap harta yang dimilikinya.  Oleh itu, hak memiliki harta oleh keluarga penjenayah tidak akan terhapus, begitu juga dengan harta penjenayah tidak akan dirampas.  Jaminan ini dinikmati oleh semua rakyat Uthmaniyyah tanpa mengira agama dan mazhab.



Piagam Hatt-I Humayyun


Pada 1 Februari 1856, Piagam Hatt-i Humayyun diperkenalkan.  Piagam ini menunjukkan bahawa segala jaminan yang ditentukan dalam Hatt-i Sharif Gulhane dan yang bersesuaian dengan dasar Tanzimat adalah disahkan dalam Hatt-i Humayyun. Begitu juga dengan keistimewaan yang diberikan kepada masyarakat Kristian dan selainnya juga disahkan.  Sekiranya terdapat diskriminasi dalam hal agama, bangsa dan bahasa, maka ianya akan dihapuskan.


Di samping itu, piagam ini menyebut bahawa masyarakat Kristian dan bukan Islam dibenarkan untuk menganut mana-mana agama dengan bebas dan tiada paksaan dalam beragama.  Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama layak memohon dan menjawat jawatan awam, memasuki sekolah awam atau tentera. Mereka juga boleh mendirikan sekolah-sekolah.  Melalui dasar Tanzimat, pembaharuan berdasarkan Barat dilaksanakan secara meluas dalam semua aspek, iaitu pentadbiran, ekonomi dan perundangan.  Reformasi perundangan telah melahirkan undang-undang baru seperti Kanun Keseksaan dan Kanun Perniagaan serta Perdagangan Laut. Mahkamah baru juga diwujudkan untuk menguatkuasakan kanun baru, seperti Mahkamah Perdagangan, Mahkamah Campuran (mixed court), Mahkamah Sivil dan Jenayah .



ASPEK-ASPEK PEMBAHARUAN TANZIMAT


Aspek Pentadbiran


Perubahan yang berlaku sekadar memperkemaskan lagi pentadbiran pusat dengan mewujudkan kementerian-kementerian sebagai menyambung dasar-dasar yang dimulakan oleh Sultan Mahmud II. Contohnya Kementerian Kerjaya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Polis.  Di samping itu Majlis Diraja yang dibentuk oleh baginda telah ditukar menjadi Majlis Tanzimat, yang berfungsi dalam merangka segala pembaharuan dari segi undang-undang dan mengawal rasuah dalam pentadbiran.  Ahli-ahli  majlis yang dipilih terdiri daripada mereka yang berpendidikan Barat sahaja.


Aspek Pendidikan


Pada tahun 1846, berdasarkan saranan yang dibuat oleh suruhanjaya, satu sistem pendidikan yang baru telah diwujudkan iaitu aliran akademik yang terpisah daripada pengawasan pihak ulama. Selain itu, pengajian juga dijalankan dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat universiti.  Namun, pelaksanaan terbantut kerana hanya beberapa buah Rushdiyeh (sekolah menengah) dan sekolah rendah sahaja yang ditubuhkan, manakala universiti pula ditubuhkan beberapa tahun kemudiannya. Pada tahun 1868, semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz (1861-1876M), sebuah Maktab Diraja Uthmaniyyah telah dibina di Galatasaray dengan menggunakan bahasa Perancis sepenuhnya melainkan dalam subjek yang berhubung terus dengan kebudayaan Turki.  Pada masa itu juga kurikulum ala-Barat digunakan dengan lebih serius.


Aspek Perundangan dan Keadilan


Pada mulanya Empayar Uthmaniyyah telah ditadbirkan menurut Syariat Islam dan Kanun (Hukum Adat).  Apabila Tanzimat dilaksanakan,  beberapa peraturan baru telah diadakan tanpa penglibatan atau pengetahuan ulama. Pembaharuan-pembaharuan yang dibuat menyentuh soal-soal jinayat, tanah, perniagaan dan pelayaran yang diubah suai daripada undang-undang Perancis.  Pada waktu yang sama juga, mahkamah sekular dibentuk bagi menjalankan undang-undang baru. Misalnya pada tahun 1847, mahkamah-mahkamah bahagian sivil dan jenayah telah dibentuk dengan para hakimnya dilantik daripada kalangan orang-orang Eropah dan tempatan.  Pelaksanaan ini menyebabkan status ulama menjadi lemah dan kuasa mereka dalam hal undang-undang sekaligus diketepikan.  Dalam pada itu, pihak berkuasa Uthamniyyah telah berusaha untuk memecahbelahkan para ulama sehingga mewujudnya dua golongan iaitu ulama kerajaan yang menjadi sebahagian birokrasi dan ulama bebas. Golongan ulama menjadi lemah dan tidak dapat menyekat usaha pembaharuan kerana sumber kewangan mereka iaitu harta-harta wakaf telah diambil alih oleh kerajaan. Tanpa pendapatan yang kukuh mereka tidak dapat bertindak dengan berkesan.


Aspek Komunikasi


Selepas pelaksanaan Tanzimat, telah terbit beberapa surat khabar dan sumber-sumber kesusasteraan lain yang membuka jalan ke arah modenisasi.  Segala alat media masa ini digunakan bagi menyebarkan idea-idea baru Barat yang lahir sejak tercetusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789. Kerajaan Uthmaniyyah jugatelah membaiki sistem perhubungan dan pengangkutan negara. Buktinya, pada tahun 1855 perkhidmatan telegraf telah dimulakan dan diikuti dengan perkhidmatan kereta api sekitar tahun 1866. Segala langkah dan dasar yang yang dijalankan ini adalah bagi memperkukuhkan sistem pertahanan negara. Pihak berkuasa Uthmaniyyah telah membina beberapa jambatan dan jalan raya. Namun, kemajuan segi sistem pengangkutan dan perhubungan tidak seimbang.  Sebagai contoh, sesetengah provinsi lebih maju dari segi jalan-jalan dan jambatan, manakala yang lainnya terus ketinggalan. Hal ini berlaku kerana segala pembinaan dibuat adalah berdasarkan kepada keperluan pertahanan ketenteraan berbanding memberikan kemudahan kepada rakyat.


Aspek Ekonomi


Dalam bidang ekonomi, pembaharuan yang dibuat tidak seimbang kerana kurang mendapat perhatian daripada tokoh-tokoh Tanzimat. Sektor Pertanian yang menjadi tulang belakang ekonomi Uthmaniyyah tidak dimajukan. Akibatnya hasil pertanian tidak bertambah dan merumitkan kepada kaum petani apabila mereka dibebankan pula dengan cukai yang tinggi. Tanah-tanah dalam Empayar Uthmaniyyah pula dibolot oleh segelintir tuan tanah sahaja.  Aktiviti perindustrian pula hanya dijalankan secara kecil-kecilan. Bagi menampung keperluan pembangunan negara. Daulah Uthmaniyyah terpaksa meminjam wang daripada pihak pemodal seperti British dan Perancis. Akibat daripada pengeluaran dalam negeri yang berkurangan, perbelanjaan pembangunan serta peperangan yang semakin meningkat. Daulah Uthmaniyyah terpaksa berhutang kepada pemodal asing. Dengan itu, negara Uthmaniyyah telah terjerat dalam skema penjajahan Barat, iaitu daripada segi ekonomi ianya terus bergantung kepada Barat bagi mendapatkan bahan-bahan import, sama ada makanan atau peralatan dan juga modal bagi perbelanjaan pembangunannya. Lanjutan daripada itu, akhirnya kemerdekaan Empayar Uthmaniyyah terus tergugat dan terpaksa tunduk kepada kemahuan kuasa-kuasa Barat.





Comments

Popular Posts