Pemberontakan Muhammad Ali / Mehmet Ali dan Kesannya


Muhammad Ali Pasha merupakan seorang tokoh yang terkenal dalam sejarah Daulah Uthmaniyyah. Kerajaan keturunan Muhammad Ali Pasha berdiri di Mesir sejak tahun 1220H. Muhammad Ali dilahirkan di negeri Qaulah di dalam wilayah Macedonia pada tahun 1182H. Persoalan ini akan dibincangkan secara mendalam bagaimana pemberontakan pertama dan kedua yang dilakukan oleh Muhammad Ali telah membawa kesan kepada Daulah Uthmaniyyah, Mesir, Syria, dan Kuasa Barat.  



MUHAMMAD ALI MENGINGKAR ARAHAN SULTAN MAHMUD II


Pemberontakan pertama Muhammad Ali berlaku pada tahun 1828 hingga 1829 apabila Sultan Mahmud II meminta bantuan daripadanya untuk membantu tentera Uthmaniyyah dalam Perang Uthmaniyyah-Rusia. Muhammad Ali tidak mematuhi perintah Sultan Mahmud II dan alasan yang diberikan ialah perjalanan adalah jauh untuk sampai, kemusnahan armada laut dan wabak penyakit yang berlaku di Syria. Muhammad Ali meminta kepada Sultan Mahmud II supaya menyerahkan Syria dan Crete yang pernah dijanjikan kepadanya pada masa dahulu. Walau bagaimanapun, Sultan Mahmud II menolak permintaan Muhammad Ali dan pada masa yang sama Sultan bertujuan untuk menyingkirkannya. Walau bagaimanapun, Muhammad Ali telah mengetahui rancangan tersebut lebih awal dan beliau mencari peluang untuk menguasai Syria secara kekerasan dan seterusnya menggagalkan rancangan untuk membunuhnya.



PERTEMPURAN DI NEZIB


Pemberontakan Kedua yang dilakukan oleh Muhammad Ali bermula pada tahun 1839. Hal ini kerana persiapan tenteranya kurang baik dan syarikat diplomatik daripada Empayar Uthmaniyyah menuntut kawasan dari Porte. Setelah penolakan permintaan tersebut, Muhammad Ali telah mengisytiharkan kemerdekaan. Pada masa itu, Sultan Mahmud II telah menggunakan masa yang lama untuk membuat persiapan peperangan. Baginda menghantar tentera Uthmaniyyah ke Syria di bawah pimpinan Hafiz Pasha pada musim bunga, tahun 1839 untuk memulakan peperangan. Pada 24 Jun 1839, tentera Uthmaniyyah telah berperang dengan tentera Syria di bawah pimpinan Ibrahim Pasha di Nezib.Tentera Mesir mula menyerang tentera Uthmaniyyah pada 29 Jun 1839 dan tentera Mesir berjaya menghancurkan Tentera Uthmaniyyah di bawah pimpinan Hafiz Pasha dalm hanya empat jam.



KESAN PEMBERONTAKAN PERTAMA


REFORMASI DALAM BIDANG KETENTERAAN


Muhammad Ali lebih mengutamakan reformasi dalam bidang ketenteraan kerana bidang ini penting kepadanya untuk mengukuhkan kerajaan Mesir dari ancaman negara luar. Muhammad Ali telah mendapatkan bantuan iaitu dari segi teknikal perang dari Perancis dan beliau telah menubuhkan beberapa buah sekolah yang moden untuk melatih tenteranya. Muhammad Ali telahmembawa masuk ahli-ahli teknik dari Eropah untuk mengajar di sekolah-sekolah tersebut dan juga menyusun angkatan tentera Mesir. Dalam bidang ketenteraan juga, beliau telah mengambil petani Mesir iaitu fellahin sebagai anggota tenteranya yeng menggantikan tentera dari bangsa Sudan yang tidak dapat memberikan perkhidmatan ketenteraan yang baik. Bagi beliau, tentera bukan sahaja memerlukan senjata yang canggih, pakaian seragam yang baru, latihan, dan kemudahan pembelajaran yang baru, tetapi tentera memerlukan satu organisasi yang sistematik dan perkhidmatan sokongan yang berkesan. Oleh itu, beliau telah melantik Kolonel Seve(Sulayman al-Faransawi) sebagai penasihat dalam bidang ketenteraan. Tindakan Muhammad Ali melakukan pembaharuan bidang ketenteraan menunjukkan bidang ini penting kerana Mesir lemah dalam bidang ketenteraan dan ketinggalan dari segi teknologi jika dibandingkan dengan negara Barat.



REFORMASI DALAM BIDANG PENDIDIKAN


Muhammad Ali juga melakukan perubahan dalam bidang pendidikan. Beliau merupakan seorang yang buta huruf tetapi beliau tidak merendahkan ilmu pengetahuan kerana beliau telah mewujudkan Jabatan Pelajaran. Dalam bidang pendidikan, beliau telah menubuhkan sekolah rendah dan menengah yang berorientasikan Barat dan sekolah tinggi dan maktab. Graduan yang telah lulus dari sekolah tersebut akan diserap ke dalam bidang ketenteraan dan pentadbiran. Hal ini kerana Mesir memerlukan para doktor, jurutera, penterjemah dan pegawai pentadbir untuk memodenkan bidang pentadbiran dan ketenteraan. Selain itu,  kerja-kerja penterjemahan daripada bahasa Eropah ke bahasa Arab dan bahasa Turki juga diusahakan. Muhammad Ali membawa Profesor dan juga pakar perubatan dari Perancis dan juga menghantar rakyatnya untuk belajar di Eropah. Sebagai contoh, seramai 300 ratus pelajar Mesir dihantar belajar di Itali, Perancis, England dan Austria iaitu antara tahun 1813 hingga tahun 1849 dan juga beliau mengambil sarjana yang bernama Jomand yang bertugas dalam bidang pendidikan dan juga mengendalikan program penghantaran pelajar Mesir ke Paris. Muhammad Ali telah menubuhkan Syarikat Percetakan Rakyat pada 1821 yang diletakkan dibawah penyeliaan Nuqala Musabaki al-Maruni yang mendapat latihan dari Eropah dan syarikat ini juga telah menerbitkan akhbar seperti al-Waqa’i, al-Misriyyah pada tahun 1828.



REFORMASI DALAM BIDANG PERTANIAN


Bagi meningkatkan pendapatan negaranya dengan sebanyak yang mungkin, Muhammad Ali telah memperkenalkan sistem monopoli dalam bidang pertanian, yang mengakibatkan negara membolot segala kegiatan membeli hasil-hasil pertanian yang utama. Keadaan ini berlaku kerana, Muhammad Ali Pasha ingin menyaingi Daulah Uthmaniyyah dan seterusnya ingin menguasai Istanbul. Oleh hal yang demikian, Muhammad Ali telah membentuk satu dasar kapitalis di mana beliau sendiri yang menerajuinya. Dalam pada itu, sejajar dengan dasar memonopoli tersebut, beliau telah membeli hasil pertanian daripada para petani dengan murah dan menjual kesemuanya kembali sama ada di Mesir atau kepada pedagang asing dengan kadar yang tinggi. Selaras dengan dasar memonopoli bidang pertanian, Muhammad Ali telah menyusun pengeluaran hasil pertanian dengan cara yang sistematik dan mendirikan satu birokrasi kutipan cukai kerajaan. Oleh sebab beliau telah membahagikan tanah kepada anggota keluarga dan penyokongnya tetapi mengekalkan kawalan yang ketat terhadap semua tanah di negara itu, beliau dapat mengarahkan petani menanam tanaman yang perlu seperti jagung, gandum dan kacang serta memastikan pasaran bagi hasil tanaman melalui hak monopolinya.


Perkembangan pertanian berkembang di bawah pentadbirannya kerana beliau sentiasa memastikan sistem sokongan yang baik. Bagi menambahkan produktiviti, beliau telah menyusun secara menyeluruh sistem perairan yang tersusun seperti pam, terusan dan takungan air. Pengairan takungan telah digantikan dengan pengairan yang boleh mengairi Sungai Nil sepanjang tahun. Sejenis tanaman yang boleh dimakan oleh binatang iaitu Birseem dapat memulihkan kesuburan tanah seterusnya membawa kepada kegiatan pertenakan lembu.



RERORMASI DALAM BIDANG PERIDUSTRIAN DAN PERDAGANGAN


Setelah menjadikan Mesir sebagai pasaran ekonomi dunia, Muhammad Ali telah memperkenalkan sejenis kapas yang terkenal dan ini membawa pula kepada perkembangan dalam bidang perindustrian tenunan di Eropah. Kilang-kilang bagi pengeluaran barang-barang tekstil, kulit, pemprosesan makanan dan bekalan senjata juga telah menjadikan Mesir sebagai kuasa industri yang mungkin dapat menyaingi kuasa Eropah. Kekurangan dari segi bahan logam, bahan bakar serta pekerja yang telatih untuk mengganti dan membaiki alat-alat telah melemahkan harapan beliau menjadikan Mesir sebuah negara industri dan seterusnya membawa kepada aktiviti perdagangan barangan dengan negara luar.Beliau telah membina Terusan Mahmudiyya yang menghubungkan Iskandariah dengan Kaherah untuk menambahkan perdagangan import dan eksport kedua-dua negara. Monopolinya terhadap semua bot yang melalui terusannya itu adalah matlamat utama semua pedagang Eropah. Apabila Perancis mencadangkan pembinaan sebuah terusan yang menghubungkan Laut Mediterranian dengan Laut Merah, Muhammad Ali tidak setuju. Beliau menjangkakan bahawa ini akan menjejaskan kuasa autonomi Mesir dengan meningkatkan lagi nilai strateginya yang sudah ketara. Selain itu, Muhammad Ali juga menggunakan kepakaran kumpulan Saints Simonians iaitu ahli-ahli sains dari Perancis yang ditugaskan untuk merancang pembinaan Terusan Suez bagi hubungan perdagangan antara Timur dan Barat.



KESAN PEMBERONTAKAN KEDUA


KESAN KEPADA MESIR


Dalam usahanya, Muhammad Ali cuba menukarkan pemerintahan Mesir menjadi sebuah negara yang gagah dan hebat di Asia Barat. Muhammad Ali juga melibatkan keluarganya dengan mengiktiraf mereka di Mesir serta kawasan takluknya. Muhammad Ali mempunyai cita-cita untuk menjadikan Mesir sebuah negara yang kuat untuk dirinya dan keluarganya. Pemberontakan ini memberi kesan kepada Mesir semasa pemberontakan kedua Muhammad Ali. Pada 15 Julai 1840, satu perjanjian perdamaian telah diadakan semasa Konvensyen di London dan dipanggil perjanjian London yang disertai oleh Rusia, Prussia, Britain, Daulah Uthmaniyyah dan Muhammad Ali sendiri. Syarat-syarat perjanjian ini memberi impak yang positif kepada Muhammad Ali apabila Sultan Daulah Uthamaniyyah telah bersetuju untuk menyerahkan Mesir kepada Muhammad Ali dan keluarga serta menyerahkan Syria dan  Arce.


Selepas termeterai perjanjian  London 1840. Tentera sekutu Barat  dan Daulah Uthmaniyyah  bertindak mengepung Syria. Akibat daripada tentangan itu, Perancis beralih arah dan akhirnya Ibrahim Pasha tewas.  Kesan daripada itu, Daulah Uthmaniyyah telah menyatakan status baru Mesir melalui Firman yang dirasmikan pada 13 Febuari I841. Menurut Firman tersebut bahawa pashalik Mesir telah dilepaskan kepada keluarga Muhammad Ali dengan hak waris untuk keturunannya. Pasha Mesir akan  dipilih dan disahkan oleh Sultan di antara keturunan Muhammad Ali, seterusnya undang-undang Uthmaniyyah akan dilaksanakan di Mesir dan kutipan cukai dikutip atas nama Sultan Uthmaniyyah serta sebahagian cukai dihantar ke Istanbul.  Selain itu juga, Firman juga menyebut bahawa pembangunan kapal perang oleh gabenor Mesir mestilah mendapat kelulusan Sultan. Jika Muhammad Ali gagal mematuhi syarat-syarat ini, keistimewaan terhadap keturunannya akan disingkirkan.


Keutamaan yang diberi oleh Muhammad Ali kepada pedagang-pedagang Eropah telah menyebabkan Mesir kehilangan dasar monopoli. Konvensyen Inggeris-Uthmaniyah pada tahun 1838 telah memberi keutamaan perdagangan kepada Inggeris yang membawa kepada konsesi seterusnya dalam perjanjian tahun 1840-1841 dan persetujuan tentang peruntukan perundangan Uthmaniyyah, terutama sekali dasar penyerahan. Dengan perlindungan yang diberikan, pedagang-pedagang Eropah menggunakan sepenuhnya keutamaan tersebut dengan menjadikan Iskandariah sebagai pangkalan utama. Kapitalis-kapitalis peribumi Mesir tidak dapat menandingi mereka.


Melalui Firman inilah yang membantutkan hasrat Muhammad Ali untuk menjadikan Mesir sebuah negara bebas daripada Daulah Uthmaniyyah disebabkan oleh kuasa Eropah telah bersatu untuk menghalang Muhammad Ali menjadi sebuah kerajaan yang kuat di Timur Laut Mediterranean dan kepentingan perdagangan bebas kapitalis Eropah yang tidak suka dasar monopoli negara Mesir. Kesan utamanya bermula pada tahun 1841 apabila Mesir kembali menjadi  sebuah wilayah dibawah naungan Daulah Uthmaniyyah walaupun hakikatnya Mesir diperintah oleh Muhammad Ali Pasha dan keluarganya. Walau bagaimanapun, penduduk peribumi melihat pelaksanaan sistem pentadbiran yang dilaksanakan oleh Muhammad Ali itu hanya memberi keuntungan kepada golongan atasan Daulah Uthmaniyyah sahaja. Dalam hal ini, para petani tidak menyukai kerahan tentera yang berleluasa dan mereka membantah apabila mereka dipaksa membuat kerja-kerja awam. Namun demikian, kesihatan dan keadaan ekonomi yang lebih baik menyebabkan pertumbuhan penduduk yang pesat dan Mesir masih lagi mengekalkan kemakmurannya walaupun selepas kehilangan kuasa monopoli secara beransur-ansur.



KESAN KEPADA SYRIA


Muhammad Ali Pasha  mempunyai cita-cita untuk menakluki Syria sudah sekian lama dan akhirnya memutuskan menaklukinya pada tahun 1832. Tetapi sebelum itu, Ibrahim diberi perintah dari tentera Mesir dan kempen melawan Syria. Walaubagaimanapun tertunda oleh wabak kolera luas, mulai menjelang akhir 1831. Penaklukan Muhammad Ali terhadap Syria dapat dilihat apabila anaknya iaitu Ibrahim Pasha mengambil alih pemerintahan di Syria.


Ibrahim telah melakukan beberapa perubahan keatas pentadbiran Syria antaranya peruntukan perlindungan kepada semua masyarakat daripada pelbagai agama dan menggalakkan pendidikan serta perhubungan, penamatan penyalahgunaan kuasa asing, dan menjadikan struktur pemerintahan kerajaan lebih teratur. Penyusunan semula pendidikan adalah selaras dengan pendidikan Mesir. Sekolah-sekolah pengembangan agama lebih berjaya daripada sekolah sekular oleh Ibrahim kerana minat golongan minoriti Levant terhadap pendidikan asing. Selain itu, Ibrahim juga telah menghapuskan sistem pembahagian negara yang lama kepada  “pashalik” dengan menukarnya dengan melantik seorang gabenor kecil yang mempunyai wakil-wakil, dan kebanyakan gabenor tersebut daripada bangsa Arab di setiap daerah. Golongan Bangsawan menentang pelaksanaan Ibrahim tersebut, tetapi dengan angkatan tenteranya yang kuat, beliau telah berjaya menghapuskan penentang-penentang tersebut.

Selain itu, Ibrahim telah mengubah institusi makhamah dengan menubuhkan mahkamah sekular yang baru serta penyeliaan mahkamah agama yang dapat melindungi harta penduduk. Ibrahim juga telah mengurangkan kutipan cukai yang dilakukan sewenang-wenangnya sebelum ini. Manakala di dalam sektor pertanian pula, memberi kesan kepada Syria iaitu apabila rakyat Mesir membawa masuk pakar pertanian yang bertujuan untuk membantu memberi keperluan dan khidmat nasihat dalam memperbaiki kaedah-kaedah dalam penanaman. Seterusnya Ibrahim juga membuat perubahan kepada sektor perdagangan. Beliau telah memonopoli keatas barangan dagangan seperti sutera, kapas, dan sabun. Dasar yang telah diperkenalkan oleh Ibrahim ini memberi kesan kepada perdagangan Eropah dengan memberi ancaman kepada industri tempatan.


Kesan penaklukan Muhammad Ali terhadap Syria juga memberi tamparan kepada Daulah Uthmaniyyah. Hal ini kerana, penaklukan Daulah Uthmaniyyah kehilangan wilayahnya iaitu Syria sendiri. Tentera Mesir terus mara dengan menakluki beberapa wilayah seperti Damsyik, Aleppo serta Alexandretta dan seterusnya ke Konya. Seterusnya Daulah Uthmaniyyah mengalami kekalahan di dalam peperangan dengan Mesir pada  21 Desember 1832 semasa membuat pengepungan keatas Konya di bawah Resit Pasha. Pada November 1840, serangan dan pengeboman dari Inggeris di Akka  telah menyebabkan  Syria berada dalam keadaan bahaya. Akhirnya pada Desember 1840, Muhammad Ali mengarahkan Ibrahim meninggalkan Syria dan Syria tewas ditangan kuasa bersekutu barat dengan Daulah Uthmaniyah. Syria kekal di bawah Daulah Uthmaniyyah.



KESAN KEPADA NEGARA-NEGARA EROPAH


Kuasa-kuasa Eropah telah mengambil kesempatan diatas pemberontakan ini. Sehubungan dengan itu, kesan pemberontakannya dapat dilihat melalui kedatangan kuasa-kuasa barat seperti Perancis, British, Rusia dan lain-lain. Pencerobohan tentera Perancis ke atas wilayah negara tersebut pada tahun 1798 Masihi  diketuai oleh Napoleon Bonaparte, seorang diktator yang memperoleh kuasa di Perancis berikutan tercetusnya Revolusi Perancis telah melanggar Mesir.


Kesan yang paling nyata adalah apabila Sultan Mahmud II meminta bantuan Eropah seperti Rusia, Austria, Perancis dan British bagi menentang pemberontakan Muhammad Ali. Dalam hal ini, Rusia bersedia memberi pertolongan kepada Daulah Uthmaniyyah bagi menentang Muhammad Ali sekiranya Sultan Mahmud II menyerahkan kawasan Laut Hitam kepada Rusia. Tujuan Rusia meminta Laut berkenaan adalah bagi kepentingan perdagangan. Selain itu, Rusia juga menginginkan Selat Dardanelles dan Selat Danube. Pendekatan yang dijalankan oleh Perancis pula amat berbeza berbanding dengan Rusia. Seperti yang kita sedia maklum, Perancis suatu ketika dahulu bersahabat dengan Muhammad Ali. Perancis telah merintis pembaharuan yang amat besar terhadap kemajuan sistem pertahanan Muhammad Ali melalui perkongsian kepakaran dan teknologi ketenteraan. Maka, British juga menawarkan diri bagi membantu Daulah Uthmaniyyah bagi menghalang pemberontakan Muhammad Ali dengan syarat Daulah Uthmaniyyah memberikan kawasan perdagangan kepada British. Kita dapat mengetahui bahawa penglibatan campur tangan kuasa-kuasa Eropah ini adalah bertujuan bagi menjamin kepentingan masing-masing terutamanya keinginan untuk meluaskan pengaruh dan seterusnya menguasai kawasan perdagangan Daulah Uthmaniyyah.



KESIMPULAN


Daulah Uthmaniyyah adalah sebuah kerajaan yang kuat pada awalnya. Tetapi setelah berlaku peperangan Napoleon dengan Perancis, Daulah Uthmaniyyah mulai  kelihatan akan jatuh. Sultan pada masa itu ialah Sultan Mahmud II telah meminta bantuan daripada Pasha Mesir iaitu Muhammad Ali untuk melawan Perancis. Tetapi Muhammad Ali mempunyai agendanya tersendiri dengan menakluki Mesir, maka berlakulah pemberontakan terhadap Daulah Uthmaniyyah. Sehubungan dengan itu, Sultan Mahmud II telah  berusaha melawan Muhammad Ali dengan meminta bantuan Barat. Akhirnya Muhammad Ali terpaksa akur dengan kuasa Daulah Uthmaniyyah dengan kuasa barat apabila terpaksa menyerahkan kembali kepada Daulah walaupun mendapatkan Mesir untuknya dan keturunannya.




Comments

Popular Posts