Dasar Perluasan Kuasa British di India


Abad ke 17 merupakan abad permulaan bagi kebangkitan kuasa-kuasa Barat. Kuasa-kuasa barat telah berlumba-lumba untuk meneroka dan menguasai jalan perdagangan ke timur. Kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Perancis, British dan sebagainya telah bersaing sesama sendiri untuk meletakkan kedudukan mereka di tingkat yang paling atas dalam ‘dunia baru’ ini. Dengan berlatarbelakangkan agama dan ekonomi diiringi dengan kelebihan yang dimiliki oleh mereka dari segi sokongan modal yang besar, teknologi perkapalan yang efisien dan sokongan pihak pemerintah membolehkan mereka bertapak dan berkembang di wilayah-wilayah asing contohnya seperti di India. Antara kuasa barat yang menonjol pada masa itu adalah British.

Revolusi Perindustrian yang pesat membangun di Britain telah menjadikan India sebagai sebuah negara yang penting kepada British. Hal ini kerana India berpeluang untuk menjadi pembekal utama bahan mentah kepada British. Penduduk India yang ramai iaitu sebanyak 300 juta orang juga merupakan pasaran yang berpotensi besar untuk menjadi pengguna kepada barangan buatan British. Kedatangan kuasa British ke India telah membawa kesan yang sangat besar kepada negara tersebut. Pengambilan kuasa yang dilaksanakan oleh British sejak tahun 1740-an dilakukan secara beransur-ansur telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap perkembangan sejarah di India.

Menurut Azharudin Mohd Dali (2004), pengaruh serta keupayaan British dalam politik, perdagangan dan ketenteraan yang mereka laksanakan di India menjadi asas terpenting dalam menentukan kejayaan pihak British dalam menguasai India. Dalam aspek pengaruh dan keupayaan politik, pihak British telah menjalankan hubungan politik dengan pemerintah tempatan melalui ejen-ejen British yang dikenali sebagai residen. Selepas itu, apabila kuasa British semakin besar dan kukuh, mereka mula bertindak mengurangkan segala kuasa autonomi India melalui perjanjian. Kesan daripada itu, pihak British terbabit secara langsung dalam hal ehwal dalaman di India terutama dalam soal penggantian pemerintah, perlantikan pembesar serta pentadbiran kerajaan. Keadaan ini menjelaskan betapa bijaknya pihak Britih dalam masuk campur secara tidak langsung dalam hal ehwal kerajaan walaupun mereka belum mengambil alih  kuasa secara rasmi di India.

Dari segi perdagangan pula, (SHTI) menubuhkan pusat pelabuhan mereka di Bombay, Madras dan Calcutta. Pada mulanya, tujuan utama British adalah untuk memonopoli kedudukan perdagangan di India. Kemudian, British dapat merasakan bahawa perdagangan bebas akan membuatkan India menjadi major pasaran untuk barangan British dan sumber bahan mentah. Kapitalis British yang melabur di India juga dapat menikmati keistimewaan dari segi perkerjaan yang menarik dan menguntungkan sebahagian besar kelas menegah British. Hal ini menyebabkan minat British kepada India semakin mendalam.

Selain itu, India meningkat naik menjadi sesuatu yang berharga kepada British selepas mereka mula membina jalan kereta api di sana. Hal ini kerana jalan kereta api dapat membawa barang-barang mentah dari kawasan pedalaman menuju ke kawasan pelabuhan. Kemudahan pengangkutan secara tidak langsung merangsang aktiviti ekonomi sesuatu tempat. Situasi ini menjadikan British tidak dapat melepaskan cengkaman mereka terhadap India. Kebanyakan bahan mentah di India merupakan hasil pertanian. Contoh hasil pertanian adalah seperti teh, kopi, kapas dan sebagainya. Keuntungan yang diperolehi oleh British telah mengubah sebuah syarikat perdagangan SHTI kepada sebuah badan penguasa yang menguasai sebahagian besar wilayah di India.

Sebagai contoh, penguasaan yang dilakukan oleh SHTI di Bengal. Disebabkan oleh masalah yang melanda Benggal iaitu kebuluran yang besar telah berlaku pada tahun 1770. Masalah kebuluran ini telah menjadi suatu masalah yang besar dan sekaligus menghancurkan penduduk Bengal pada masa itu. Keadaan Bengal yang lemah menjadikan ini sebagai satu peluang yang baik bagi pihak British. Gabenor bagi Bengal pada masa itu adalah Warren Hastings. Beliau telah mendapat arahan daripada pihak atasan iaitu lembaga pengarah di London untuk menjadikan syarikat SHTI sebagai Diwan di Bengal. SHTI akan bertanggungjawab secara langsung terhadap pentadbiran sivil di Bengal. Di sini jelas menunjukkan bagaimana British mengambil kesempatan atas masalah yang berlaku dan menggunakan SHTI sebagai senjata mereka.

Bagi dasar ketenteraan pula, dasar ketenteraan menjadi senjata British yang terbaik dalam memperluaskan kuasa mereka di India. Dasar ini digunakan secara terang-terangan oleh mereka pada pertengahan abad ke-18. Perpecahan dan konflik dalaman yang berlaku di India antara pemerintah-pemerintah tempatan menjadi satu kesempatan yang terbaik bagi pihak British dalam meluaskan kuasa mereka di India. Pihak British menyedari bahawa mereka memerlukan sebuah pasukan tentera yang kuat untuk bersaing dengan kuasa-kuasa pesaing seperti Perancis. Mereka mula menggunakan dan membina kapal-kapal perang yang baru dan menubuhkan satu skuadron pasukan tentera laut yang kuat dan sekaligus dapat menyingkirkan Perancis sebagai pesaing mereka.

Kemunculan Robert Clive juga turut memberi kesan yang besar dalam usaha British untuk mengukuhkan kedudukan mereka di India. Robert Clive merupakan seorang yang berani dan bercita-cita tinggi. Beliau juga pernah mengimpikan tempat di parlimen dan menerima komision sebagai leftenan kolonel. Hal ini menyebabkan Robert Clive berjaya menyusun pasukan tentera yang kuat. Pasukan ini digunakan bagi menghadapi pasukan Perancis dan kuasa tempatan. Melalui dasar ketenteraan yang dilaksanakan, mereka bukan sahaja berjaya menguasai semula Fort William di Calcutta, malah berjaya menguasai Bengal pada tahun 1757, hak Diwani pada tahun 1765, Oudh dan Hyderabad.

Tambahan, British di India juga mempunyai dua pasukan tentera yang kuat iaitu tentera laut dan tentera darat. Contoh tentera mereka yang kuat adalah tentera sepoi. Keanggotaan bagi tentera ini terbuka kepada orang Eropah malah orang tempatan juga boleh menyertai ketenteraan ini. Tentera sepoi mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sejarah perluasan kuasa British di India. Tentera sepoi ini dihormati kerana disiplin dan keberanian mereka di medan peperangan. Malah pasukan sepoi ini juga menerima penghormatan khusus daripada Lord Cornwallis iaitu seorang gabenor di India. Malah, gabenor Bombay, Mountstuart Elphinstone juga mengatakan bahawa pasukan sepoi ini merupakan suatu ‘mesin’ yang halus dan berbahaya kepada pihak British, jika terdapat kesalahan walaupun sedikit yang dilakukan British, dengan mudah pasukan ini akan menentang British.

     Kesimpulannya, perlumbaan pengaruh antara kuasa-kuasa barat menyebabkan British meluaskan kuasanya ke atas India. Pertapakan British yang bermula dengan kepentingan ekonomi  mula berubah ke arah pentadbiran dan penjajahan ke atas India. Perluasan kuasa dilakukan oleh pihak British melalui perluasan kuasa dalam bidang politik, penguasaan dalam perdagangan yang menguntungkan dan dasar ketenteraan yang dapat mengawal kuasa tempatan serta pesaing-pesaing yang cuba mengambil alih India. Pertapakan British di India telah mengubah sejarah India yang pada mulanya diungguli oleh Kerajaan Islam Mughal dan akhirnya jatuh ke tangan British.


Comments

Post a Comment

Popular Posts